KUCHING: Pos Kawalan Sempadan di Long Singut, Ulu Sungai Baleh perlu dibangunkan bagi memperkukuhkan keselamatan sempadan Sarawak dengan Indonesia.

Saranan ini dibuat oleh Adun Baleh Nicholas Kudi Jantai semasa membahaskan Usul Penghargaan Atas Ucapan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri
Abdul Taib Mahmud pada persidangan DUN Sarawak Ke-19, semalam.

Beliau berkata, pos kawalan ini amat diperlukan lebih-lebih lagi apabila ibu negara Indonesia dipindahkan ke lembangan Sungai Mahakam.

“Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terletak di kawasan Merirai kira-kira 170 kilometer dari sempadan Malaysia-Indonesia adalah satu-satunya pos kawalan yang berada di kawasan terbabit ketika ini.

“Namun, bilangan warganegara Indonesia memasuki Sarawak melalui jalan tersebut semakin bertambah dan akan terus meningkat sekiranya Ibu Negara Indonesia berpindah ke kawasan yang dicadangkan,” katanya.

Dalam pada itu jelasnya, barang-barang bersubsidi seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan bahan bakar juga akan senang dibawa keluar melalui sempadan yang tidak dikawal ini.

Ia mungkin akan dibawa keluar ke Long Nawang, sebuah penempatan Indonesia yang didiami kira-kira 5,000 penduduk.

Selain itu, beliau juga berharap agar Kerajaan Sarawak dapat mempertimbangkan untuk mewujudkan semula Sarawak Ranger untuk membantu anggota-anggota keselamatan yang sedia ada menjaga keselamatan sempadan dan keselamatan awam.

Suara Sarawak