KUCHING: Sebanyak 563 kes kemalangan jalan raya direkodkan di Sarawak sepanjang 10 hari Op Selamat ke-18 Hari Raya Aidilfitri 2022.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata, jumlah tersebut meningkat kepada 84 kes berbanding 479 kes yang direkodkan pada Op Selamat ke-15/2019.

Katanya, kes kemalangan maut turut mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 11 kes direkodkan tahun ini berbanding tujuh kes pada tahun 2019.

“Jumlah kematian juga meningkat sebanyak lima kematian atau bersamaan 71.4 peratus iaitu sebanyak 12 kes kematian sepanjang Op Selamat 18/2022 berbanding tempoh yang sama pada Op Selamat 15 yang lepas iaitu sebanyak tujuh kematian.

“Mengikut kajian statistik yang telah direkodkan menunjukkan kenderaan motosikal adalah golongan yang paling ramai terkorban akibat kemalangan jalan raya dengan jumlah sembilan orang iaitu 75 peratus dari jumlah keseluruhan seramai 12 orang yang terkorban sepanjang tempoh 10 hari Op Selamat 18 sempena Hari Raya Aidilfitri 2022.

“Ini diikuti oleh pejalan kaki iaitu seramai dua orang atau 16.7 peratus dan pengguna motokar iaitu satu orang atau 8.3 peratus yang terkorban,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini hari ini.

Mancha berkata, punca kemalangan adalah kecuaian pemandu sendiri yang gagal mengawal kenderaan semasa memandu serta memandu laju tanpa mematuhi had laju yang ditetapkan yang dibenarkan lalu terbabas.

Selain itu katanya, punca lain kemalangan adalah kerana melanggar belakang kenderaan di hadapan.

Tambahnya, kecuaian semasa memotong kenderaan lain dalam keadaan yang tidak selamat juga menjadi punca sehingga berlakunya pertembungan yang membawa maut.

“Di samping itu, peralihan ke fasa endemik dan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 menyebabkan jumlah kenderaan bertambah banyak di atas jalan raya dan ini telah menyumbang kepada berlakunya pertambahan kemalangan,” jelasnya.

Manakala katanya, sebanyak 10,251 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan kepada pengguna jalan raya yang ingkar sepanjang Op Selamat 18.

Mancha (kiri) bercakap pada sidang media di IPK Sarawak, di sini hari ini. Turut kelihatan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Bingkok John (dua kiri) dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Deputi Superintendan Mathew Manggie (kanan).

Suara Sarawak