KUCHING: Sebanyak 866 keping saman atas lima kesalahan utama jalan raya dikeluarkan di seluruh negeri sempena Op Hari Raya Aidilfitri 2022.

Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Lokman Jamaan berkata, masih ada dikalangan pengguna jalan raya yang masih ingkar undang-undang jalan raya dan enggan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Katanya, lima kesalahan utama jalan raya yang ditetapkan iaitu memandu di lorong kecemasan, menggunakan telefon ketika memandu, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju dan memotong barisan tidak akan diberi kompaun dan terus dikenakan tindakan mahkamah.

“Dengan pengumuman bahawa mereka tidak diberikan kompaun dan terus ke mahkamah telah memberikan kesan yang baik ya g mana kebanyakan pengguna berusaha untuk memenuhi tanggungjawab mereka untuk mematuhi peraturan-peraturan jalan raya.

“Saya juga berterima kasih kepada aduan dari orang ramai yang kami terima membantu kami dalam melaksanakan tugas-tugas penguat kuasaan,” katanya pada sidang media sempena Op Hari Raya Aidilfitri di Terminal Bas Kuching Sentral, di sini hari ini.

Sepanjang operasi bermula 29 April hingga 7 Mei, beliau berkata JPJ telah memeriksa sejumlah 5,364 kenderaan di negeri ini.

Selain itu, katanya, JPJ juga telah memeriksa enam depo bas, enam terminal bas dan 116 bas.

Tambahnya, dua notis arah periksa dan larangan penggunaan PG1 telah dikeluarkan terhadap dua buah bas yang tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.

Lokman (dua kiri) bersama anggota JPJ Sarawak memeriksa bas di Terminal Bas Kuching Sentral, di sini.

“Semua maklum bahawa ini adalah petunjuk prestasi utama (kpi) termasuk di Sarawak di mana penggunaan bas ekspres dan bas persiaran amat dititik beratkan oleh JPJ seluruh Malaysia.

“Kita memastikan semua kenderaan yang bergerak dari depo dan terminal ke semua destinasi tertentu sampai selamat,” katanya.

Lokman berkata, pihaknya juga memberi jaminan akan perjalanan pergi dan balik dengan lancar sepanjang musim perayaan dengan melarang kenderaan berat di seluruh negeri.

Lokman (kiri) memeriksa keadaan tayar bas sebelum ia berlepas di Terminal Bas Kuching Sentral, di sini.

Suara Sarawak