KUCHING: Seorang penganggur lelaki dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana melakukan ugutan jenayah hendak membakar rumah ayahnya dan mencuri seutas gelang emas milik ibunya.

Tertuduh Nur Zulhilmi Mohammad, 28, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Zubaidah menetapkan hukuman penjara lima bulan terhadap tertuduh sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah hendak membakar rumah milik bapanya berusia 69 tahun.

Majistret Zubaidah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau lima bulan penjara.

Sementara pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri harta milik ibunya, Zubaidah menjatuhkan hukuman penjara lima bulan berkuat kuasa hari ini.

Kedua-dua pertuduhan itu dilakuikan di kediaman mereka di Kampung Sinjan, Petra Jaya, di sini, kira-kira jam 6.00 petang, 17 Mac lalu.

Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Suara Sarawak