KUCHING: Prebet tentera darat mengaku tidak bersalah di hadapan Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan hendak mencabul seorang wanita berusia 35 tahun di sebuah bilik pangsapuri mewah, 16 Mei lalu.

Tertuduh berusia 21 tahun berasal Dungun, Terengganu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Majistret Syarifah kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin mahkamah RM5,000 beserta seorang penjamin tempatan.

Menurut pertuduhan, dia didakwa melakukan kekerasan jenayah hendak mencabul dengan mencengkam kedua-dua tangan dan menolak mangsa masuk ke dalam bilik pada jam 10.15 pagi, 16 Mei lepas.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga sepuluh tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana daripada dua hukuman tersebut.

Difahamkan, tertuduh berasal dari Dungun, Terengganu itu yang juga menginap di pangsapuri sama dengan mangsa telah mengekori mangsa sehingga ke biliknya sebelum melakukan perbuatan tersebut.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Syarifah menetapkan pengurusan kes pada 27 Jun depan.

Suara Sarawak