KUCHING: Pengusaha bot ekspres digesa untuk mengemukakan permohonan bagi mendapatkan diesel bersubsidi dan kelonggaran penggunaan skid tank kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Gesaan itu susulan daripada penangguhan pembukaan sempadan oleh Kerajaan Brunei Darussalam.

Adun Tasik Biru Datuk Henry Jinep berkata, ia bertujuan bagi meringankan beban pengusaha bot ekspres ekoran pengangkutan air akan menjadi salah satu mod pengangkutan menghubungkan kedua-dua daerah.

Justeru katanya, bantuan diesel bersubsidi itu akan membantu mengurangkan kos pengoperasian bot ekspres dan secara tidak langsung memberi manfaat kepada penumpang.

“Sekiranya pemilik-pemilik atau pengusaha bot penumpang sungai memohon kemudahan subsidi diesel melalui pihak ketiga, pemilik bot penumpang sungai hendaklah menandatangani surat akuan pemilik bot penumpang sungai yang membenarkan pihak ketiga untuk memohon subsidi diesel bagi pihak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Adun Batu Danau Paulus Palu Gumbang mengenai keputusan Kerajaan Brunei Darussalam untuk menangguhkan pembukaan sempadan yang menyulitkan rakyat di Limbang dan Lawas pada persidangan Dewan Undangan Negeri ke DUN ke-19, hari ini.

Katanya, setakat ini perkhidmatan pengangkutan air bagi sektor Limbang dan Lawas disediakan oleh Express Ratu Pertama No. 2 dan Express Pertama Limbang.

“Kadar tambang bot ekspres sehala yang ditetapkan untuk sektor Limbang, Lawas adalah sebanyak RM35 untuk penumpang dewasa dan RM20 untuk penumpang kanak-kanak.

“Pada masa ini Kerajaan Sarawak tidak memberi atau menyediakan sebarang subsidi tambang bot ekspres sama ada penumpang ataupun pengusaha bot ekspres,” tambahnya.

Garis panduan permohonan diesel bersubsidi (skid tank) merangkumi syarikat yang menjalankan aktiviti perkhidmatan bot penumpang sungai mestilah mendapat lesen bot penumpang dari Jabatan Laut atau Pejabat Daerah dan permit bot pengangkutan sungai (River Transport Permit) dari Lembaga sungai-sungai Sarawak.

BERCAKAP…Adun Tasik Biru Datuk Henry Jinep

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak