KUCHING: Ibu bapa dan penjaga diseru untuk membawa anak-anak mereka keluar bersiar-siar setelah terkurung terlalu lama di rumah ekoran penularan wabak Covid-19.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, hampir setengah juta (424,000) kanak-kanak di Malaysia mempunyai masalah kesihatan mental setelah terkurung hampir tiga tahun susulan pandemik.

“Inilah masa yang sesuai untuk membawa anak-anak keluar pergi ke tempat menarik seperti muzium untuk menikmati udara segar, di samping dapat mengenali sejarah negeri melalui lawatan dan sebagainya.

“Pada masa sama, aktiviti fizikal seperti ini juga sekurang-kurangnya membantu mengurangkan masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat agar dapat dibendung, tanpa mengira usia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Hari Keluarga dan Lawatan Sambil Belajar bersama Siwa ke Muzium Budaya Borneo (BCM), di sini, hari ini.

Jelas Hasidah yang juga Adun Semariang, melalui aktiviti seumpama ini, ia pasti dapat menceriakan anak-anak, sekali gus mengurangkan masalah seperti isu kesihatan mental akibat terlalu kerap terkurung di rumah.

Tambahnya, anak-anak lebih kerap meluangkan masa bermain gajet dan bergaul melalui dalam talian, secara maya apabila berada di rumah. Tindakan tersebut bukanlah amalan gaya hidup yang sihat.

“Justeru, kita perlu menggalakkan mereka untuk keluar serta beri peluang kepada mereka untuk meneroka, berinteraksi dan bersosial dengan orang secara fizikal ekoran endemik ini,” jelasnya.

Hasidah ketika ditemui wartawan selepas menyempurnakan program Hari Keluarga & Lawatan Sambil Belajar bersama Siwa ke BCM 

 

Hasidah bersama-sama para ibu merakamkan kenangan sempena Hari Ibu

Suara Sarawak