KUCHING: Sebuah premis bekas sekolah Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) Sri Keria di Lorong Park, Jalan Tabuan di sini musnah dalam insiden kebakaran, sekitar jam 7 pagi tadi.

Bagaimanapun, Jurucakap Pusat gerakan Operasi Bomba Sarawak mengesahkan bahawa kediaman terbabit kosong dan tidak berpenghuni.

“Kebakaran berlaku di bahagian tingkat atas bangunan dan tiada mangsa yang terlibat dalam insiden tersebut.

“Rumah dua tingkat jenis struktur kekal itu dianggarkan berkeluasan 17 x 24 kaki persegi merupakan bekas bangunan sekolah tadika Sri Keria,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, kebakaran berjaya dikawal oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dengan bertindak menggunakan satu aliran 200 kaki secara dua nozzle.

Operasi pemadaman dan menyelamat tamat sepenuhnya pada jam 8.42 pagi.

HANGUS…Keadaan bahagian atas rumah yang hangus dijilat api

 

PADAM….Pasukan bomba melaksanakan pemadaman di lokasi kejadian

Suara Sarawak