KUCHING: Kejohanan Bola Baling Terbuka Sarawak 2022, Piala Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg Edisi Ke-15 (Kategori Lelaki) dan Piala Datuk Abdul Rahman Junaidi Edisi Ke-11 (Kategori Wanita) dijangka sengit.

Akan berlangsung dari 4 hingga 7 Jun nanti, ia menampilkan 32 pasukan keseluruhan, mencakupi 18 pasukan dalam kategori lelaki, manakala 14 pasukan kategori wanita.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Baling Sarawak (SAHA), Dr Abang Ismail Abang Julhi menegaskan, pasukan yang akan bersaing kali ini menghimpunkan wakil kelab handalan dari Sarawak selaku tuan rumah.

Di samping beberapa kelab dari negeri Sabah dan Selangor.

Menurut Dr Abang Ismail, pasukan yang akan berentap dalam kategori lelaki ialah Masbro, Rajang HC, PSK, X-Lion A, X-Lion B, Samarahan Old Boys, Matang Jaya HC, PBBKK-X, PBBKK-Y, Sandakan Venom, MJ Galaxy, HC Falcon, Fam Union, UiTM KS, Jungleblitz, Seahorse, Miri, SSC dan j-Mysh, Miri.

Sementara itu, dalam kategori wanita pula ialah Rajang HC, Perempuan HT, Trial HC, Elite HC, PSK, Fam Union, SSeni, X-Lion, UiTM KS, Jungleblitz, SSC, GMY HC, Fort, Miri dan UiTM Lion.

“Pihak kita menjangkakan pertembungan sengit. Tidak hanya membabitkan kategori lelaki malah juga kategori wanita,” ujar Dr Abang Ismail kepada Arena Suara Sarawak.

Katanya, semalam sesi undian untuk semua pasukan dijalankan secara bersemuka serta langsung dalam talian.

Kejohanan selama tiga hari itu akan berlangsung di dua gelanggang berbeza iaitu Stadium Perladuan, Petra Jaya untuk kategori lelaki sambil Stadium Tertutup Unimas, Kota Samarahan yang akan diguna untuk kategori wanita.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak