BINTULU : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu menahan sebuah bot nelayan tempatan kerana didapati menggaji pekerja warga asing tanpa permit sah yang dikeluarkan Jabatan Perikanan Malaysia.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, bot itu ditahan pada jarak lebih kurang 2.5 batu nautika dari Tanjung Kidurong sekitar jam 3 petang Selasa lalu.

“Hasil pemeriksaan dan penggeledahan mendapati tiga kru termasuk tekong mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah tetapi gagal mengemukakan permit kebenaran untuk bekerja di atas bot berkenaan.

“Semasa pemeriksaan dan geledah dilakukan, tiada sebarang muatan dijumpai pada vesel berkenaan dan mereka dipercayai baharu sahaja keluar ke laut untuk melakukan aktiviti penangkapan ikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lapornya lagi kesemua kru termasuk tekong berusia lingkungan 23 hingga 47 tahun warga Indonesia serta bot ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan kerana menggaji pekerja asing tanpa permit dan telah melanggar syarat di dalam buku lesen yang telah ditetapkan.

Sehubungan itu, Maritim Malaysia sentiasa mengingatkan kesemua komuniti maritim agar mematuhi segala peraturan dan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di perairan Sarawak dna Malaysia.

Pihaknya juga mengalu-alukan sebarang maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim bagi melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan.

Orang juga boleh menghubungi talian kecemasan di laut melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254) atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam.

Suara Sarawak