Operasi bedah siasat seekor buaya yang ditangkap semalam di Sungai Nyabut.

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak (JBPMS) mengesahkan buaya yang ditangkap di Sungai Nyabut semalam bukan pemangsa bagi kes seorang kanak-kanak dibaham buaya pada Sabtu (21 Mei).

Reptilia berukuran sekitar 14 kaki (2.4 meter) dan seberat 800 kilogram itu merupakan buaya gergasi pertama terperangkap hasil jerat umpan dipasang pasukan pemburu buaya Samarahan sebelum dinaikkan sekitar jam 7 malam semalam.

Ketua Zon 1 Bomba Kuching PgKB Yusri Basri berkata, hasil bedah siasat awal dilaksanakan oleh Jabatan Hutan Sarawak (SFC) terhadap reptilia itu bagaimanapun menunjukkan keputusan negatif, iaitu tiada sebarang petunjuk ia telah membaham atau pun menelan rangka manusia.

“Setelah dilakukan bedah siasat, antara isi di dalam perut buaya tersebut merupakan barangam sampah sarap seperti beg plastik.

“Tiada organ dan tulang kanak-kanak dijumpai, perkara tersebut (bedah siasat) dilakukan oleh pihak Jabatan Perhutanan Sarawak (SFC).

“Tindakan bedah siasat diketuai oleh SFC dan kami sebagai agensi terbabit operasi hanya sebagai saksi bagi mengesahkan hasil bedah siasat,” katanya kepada pemberita hari di sini, hari ini.

Jelas beliau, operasi pencarian mangsa pada hari keenam diteruskan bagi mengesan dan mengenal pasti sekiranya terdapat sebarang petunjuk mangsa ditemui.

Tambahnya, seramai 11 anggota bomba bertugas melaksanakan pencarian lanjutan bersama dua buah bot dengan disertai beberapa agensi berkaitan.

Menurutnya, operasi turut dibantu pihak-pihak berkemahiran khususnya membabitkan tangkapan pemangsa (buaya) bagi memastikan pengoperasian di sepanjang sungai berjalan lancar.

“Sekiranya ada keperluan dan kita berjaya menjumpai petanda baharu operasi akan dilanjutkan sehingga hari ketujuh,” katanya.

BERCAKAP… Ketua Zon 1 Bomba Kuching PgKB Yusri Basri

Operasi hari keenam pencarian Mohammad Adami Moktar diteruskan sehingga terdapat petunjuk baharu dapat dikenal pasti dalam masa terdekat ini.

Terdahulu, insiden mangsa disyaki dibaham buaya sedang duduk di tebing sungai ketika aktiviti mengambil air di sungai terbabit sekitar jam 8.30 pagi.

Suara Sarawak