KUCHING: Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Jemoreng akan mengemukakan satu usul terhadap ahli yang didapati mengkhianati parti PBB.

Ketua Cawangannya Datuk Dr Juanda Jaya berkata, perkara itu telah dikesan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu dan ia akan dibawa ke peringkat perhimpunan Agung Pusat pada Jun ini.

Tegasnya, Pilihan Raya Umum (PRU) boleh dilaksanakan pada bila-bila masa sahaja dan beliau tidak mahu pengkhianat-pengkhianat seperti ini masih menjadi seperti ‘musang berbulu ayam’.

“Sebahagian daripada ahli-ahli parti kita yang tidak membantu parti sewaktu pilihan raya yang lalu bahkan ada sebahagiannya secara jelas menyokong calon-calon lawan termasuk parti calon BEBAS dan sebagainya.

“Jika mereka tidak menyokong GPS, tidak menyokong parti PBB biarlah mereka duduk (sokong) pada parti yang mereka sokong,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat Pra-persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) GPS di ibu pejabat PBB, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa pengkhianatan terhadap politik adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan kerana keputusan kepimpinan adalah keputusan secara kolektif dan setiap ahli parti kesetiaan mereka mesti dibuktikan pada hari perperangan (pilihan raya).

Sehubungan itu, beliau menggesa agar pengkhianat parti ini diambil tindakan disiplin yang mana mereka boleh dipecat dari parti itu sendiri.

Gesaan ini katanya adalah kerana memikirkan akan kekuatan parti yang bergantung kepada jentera parti sekali gus tidak mahu mereka yang mengkhianati parti ini duduk dalam jentera parti dan boleh memudaratkan parti itu sendiri.

Juanda ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat Pra-persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) GPS di ibu pejabat PBB, hari ini.

Suara Sarawak