SIBU: Tarikh pusingan kedua perbincangan antara Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) untuk menjalin kerjasama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang masih belum diputuskan lagi, kata Timbalan Pengerusi DAP Sarawak Alice Lau.

Menurutnya, jawatankuasa negeri parti itu akan bermesyuarat tidak lama lagi untuk membincangkan perkara tersebut.

“Setakat ini, kami belum memutuskan apa-apa kerana selepas pusingan pertama perbincangan iaitu pada 26 April lalu, jawatankuasa DAP negeri masih belum bermesyuarat mengenainya.

“Kami akan mengadakan satu lagi mesyuarat dalam kalangan jawatankuasa DAP negeri untuk membincangkan perkara ini sebelum bertemu semula dengan PSB untuk perbincangan pusingan kedua,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ditanya sama ada perbincangan mengenai kerjasama akan turut melibatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN), beliau mendedahkan setakat ini, ia hanya melibatkan DAP Sarawak dan PSB.

“Setakat ini perbincangan hanya melibatkan PSB sahaja. Kita lihat bagaimana kemudiannya nanti.

“Sekiranya ini tidak dapat diselesaikan (kerjasama dengan PSB), saya tidak fikir ada keperluan untuk pergi lebih jauh. Ia bukan kerja mudah yang boleh saya katakan kerana setiap parti ada pendiriannya sendiri,” kata Ahli Parlimen Lanang itu.

Sementara itu, pada hari ini (Ahad) PSB telah mengadakan pertemuan dengan Parti Bumi Kenyalang (PBK) untuk membincangkan kerjasama kedua-dua parti dalam menghadapi PRU15.

Terdahulu, dalam kenyataan bersama dua parti tersebut hari ini, kedua-duanya mendedahkan bahawa akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) tidak lama lagi bagi mengelakkan sebarang pertindihan kerusi pada pilihanraya itu.

Suara Sarawak