KUCHING: Dua orang lelaki tempatan yang tular di media sosial kerana bergaduh di Jalan Hospital pada 28 April lalu didenda masing-masing RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh Yazid, 46, dan Jong  46, mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Mahkamah turut memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara selama dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Menurut fakta kes, pengadu yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di HUS telah meleraikan satu pergaduhan dua orang lelaki yang berpunca daripada pergeseran kenderaan mereka.

Pengadu kemudian membuat laporan bagi tujuan rujukan pihak pengurusan pengawal keselamatan hospital dan tindakan pihak polis.

Pada 29 April, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching berjaya menahan kedua-dua tertuduh di tempat berasingan sekitar jam 5.17 petang dan 6.20 petang.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak