Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah

KUCHING: Dokumen akhir pencalonan Taman Negara Niah sebagai Tapak Warisan kedua di bawah kategori campuran alam semula jadi dan warisan budaya akan diserahkan selewat-lewatnya pada Februari tahun depan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu, pihaknya kini dalam proses akhir melengkapkan dokumen terbabit dengan pelbagai pihak berkepentingan.

“Proses seterusnya akan diikuti dengan penilaian oleh badan penasihat untuk keputusan muktamad oleh Jawatankuasa Warisan Dunia Unesco pada Julai tahun yang sama,” katanya.

Adun Asajaya itu berkata demikian semasa menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dun Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu pada masa ini kementeriannya sedang giat mempromosikan produk ekopelancongan seperti Sarawak Delta Geopark, Heart of Borneo and Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPAs) di Sarawak.

“Misalnya Hutan Simpan Semenggoh telah menerima 11,453 pengunjung sejak Januari hingga April 2022 berbanding 1,813 pengunjung bagi tempoh yang sama pada 2021 iaitu peningkatan sebanyak 84 peratus.

“Manakala Taman Negara Bako telah menerima 3,569 pengunjung dalam tempoh sama tahun ini, berbanding 1,023 pengunjung sahaja bagi tempoh yang sama pada 2021, peningkatan sebanyak 71 peratus,” ujarnya.

Sarawak mempunyai sejumlah 67 TPA yang diwartakan merangkumi 47 taman negara, 15 rizab alam semula jadi dan lima santuari hidupan liar.

Suara Sarawak