KUCHING: Sebuah bot tunda berserta tongkang yang beroperasi menggunakan dokumen tamat tempoh ditahan di perairan Tanjung Po, di sini, semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, tangkapan dibuat kira-kira jam 10 malam pada jarak lima batu nautika dari Tanjung Po ketika aset Maritim Malaysia melaksanakan Op Permai.

TANGKAP…Bot tunda serta tongkang dengan muatan pasir dianggarkan satu tan metrik ditangkap Maritim Malaysia Sarawak di perairan Tanjung Po.

Katanya, mereka yang ditahan terdiri daripada enam kru lelaki termasuk nakhoda berumur antara 22 tahun hingga 67 tahun melibatkan dua warga tempatan, manakala empat warga India disyaki memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan.

“Bot tunda serta tongkang dengan muatan pasir dianggarkan satu tan metrik tersebut dikesan kira-kira jam 9.50 malam pada jarak lebih kurang satu batu nautika dari aset Maritim Malaysia.

“Hasil pemeriksaan dan geledah mendapati bot tunda tersebut disyaki beroperasi menggunakan dokumen lesen tongkang yang telah tamat tempoh dan tidak memiliki sebarang dokumen pas pelepasan pelabuhan ketika diperiksa oleh penguat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua kru, bot tunda serta tongkang dengan muatan pasir tersebut diiring ke Jeti Maritim Malaysia, Muara Tebas untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu beliau mengalu-alukan maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kemalangan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak