KUCHING: Orang ramai yang layak di negeri ini digesa untuk segera tampil mendapatkan suntikan dos penggalak kedua Covid-19, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Menurutnya yang juga Menteri Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, setakat 5 Mei lalu, hanya sebanyak 1,561 rakyat Sarawak yang layak sudah menerima dos penggalak masing-masing.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 939 individu merupakan dari Kuching,” katanya mengulas mengenai penerimaan dos penggalak kedua dalam kalangan masyarakat di negeri ini, hari ini.

Tambahnya, terdapat sejumlah 302,243 rakyat Sarawak yang mempunyai risiko kesihatan atau mereka yang berumur 60 tahun ke atas layak menerima dos penggalak kedua tersebut sejak ia dilancarkan.

Dr Sim, yang juga penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) justeru itu menggesa mereka yang layak untuk mengunjungi klinik, hospital atau klinik kesihatan swasta yang terdekat bagi mendapatkan suntikan tersebut.

Untuk rekod, Sarawak akan memulakan pemberian suntikan dos penggalak Covid-19 kali kedua pada 22 April lalu dengan dua kategori penerima yang layak, iaitu individu berumur 60 tahun ke atas dengan komorbiditi berisiko tinggi serta individu yang mempunyai sistem imunisasi sederhana atau teruk berumur 12 tahun ke atas.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak