Krew bot nelayan yang ditahan bersama hasil rampasan sebanyak RM1.5 juta di Bintulu.

BINTULU : Dua buah bot nelayan Vietnam bersama kru ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Bintulu kerana menceroboh perairan negara.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, kedua-dua bot ditahan sekitar jam 3.15 petang Ahad di kedudukan kira-kira batu nautika dari 110 batu nautika dari Utara Tanjung Sirik.

Kedua-dua bot itu katanya, dikesan sekitar jam 2.50 petang dalam keadaan mencurigakan ketika dihampiri penguat kuasa maritim.

“Hasil pemeriksaan dan penggeledahan mendapati kesemua kru warga Vietnam itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah. Mereka yang ditahan termasuk tekong, berumur dalam lingkungan 16 hingga 52 tahun.

Krew bot nelayan yang ditahan bersama hasil rampasan sebanyak RM1.5 juta di Bintulu.

“Hasil rampasan dianggarkan berjumlah RM1.5 juta merangkumi dua bot, peralatan menangkap ikan 700 kilogram ikan campur serta 20,000 liter bekalan diesel. Kedua-dua bot itu ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Khairol berkata, kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM6 juta bagi empunya atau nakhoda dan RM600 ribu bagi taip-tiap anggota kru jika disabitkan bersalah.

Sehubungan itu katanya, Maritim Malaysia sentiasa mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.

Agensi itu juga mengalu-alukan maklumat serta aduan seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kemalangan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254), Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082- 432544) yang beroperasi 24 jam.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak