BAU: Dua remaja perempuan disyaki ejen judi dalam talian ditahan dalam serbuan berasingan di Pekan Tondong, Jalan Bau-Lundu, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, tangkapan dijalankan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bau antara jam 1.30 petang hingga 4.15 petang.

“Kedua-dua suspek yang ditahan berumur 18 dan 19 tahun dan tiada rekod kesalahan lampau.

“Polis turut merampas dua unit telefon pintar, dua keping kad sim dan sejumlah wang tunai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wang tunai, telefon pintar dan kad sim dirampas pihak polis.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Katanya, kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih daripada RM 50,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun penjara jika sabit kesalahan.

Polis melakukan serbuan pada salah sebuah premis kedai di Pekan Tondong, Jalan Bau-Lundu. Dua remaja perempuan disyaki ejen judi dalam talian turut ditangkap.

Suara Sarawak