KUCHING: Dua lelaki ditangkap kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah dalam serbuan berasingan di bandar raya ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, suspek pertama ditahan di Jalan Rock di sini, kira-kira jam 11 pagi.

Katanya, hasil pemeriksaan oleh pasukan serbuan turut merampas lima paket plastik lutsinar disyaki syabu seberat 5.13 gram bernilai RM513.

Tambahnya, suspek mempunyai satu kes rekod lampau.

“Manakala dalam serbuan kedua hari yang sama kira-kira jam 6.55 petang, pasukan serbuan telah menahan seorang suspek di sekitar bandar Kuching.

“Hasil pemeriksaan telah merampas satu paket plastik lutsinar disyaki syabu seberat 10.6 gram dianggarkan bernilai RM1,062. Suspek tiada rekod lampau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun tetapi tidak lebih dari lima tahun dan disebat tidak kurang dari tiga sebatan tetapi tidak lebih daripada sembilan sebatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan maklumat orang awam berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah.

 

Suspek bersama satu paket plastik lutsinar disyaki syabu seberat 10.6 gram dirampas ketika serbuan di sekitar bandar Kuching.
Salah seorang dari suspek yang ditangkap di Jalan Rock. Lima paket plastik lutsinar disyaki syabu seberat 5.13 gram dirampas oleh pasukan serbuan.

Suara Sarawak