SERIAN: Dua lelaki ditangkap kerana disyaki cuba merompak rumah seorang guru di Kampung Jawa Sungai Menaul, Jalan Ensengei, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Serian Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata, bertindak atas maklumat, kedua-dua suspek berumur 22 dan 23 tahun ditahan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Serian di Kampung Menaul kira-kira jam 5.30 petang.

Katanya, senjata dan pakaian digunakan oleh kedua-dua suspek semasa kejadian turut dirampas.

“Saringan ujian air kencing kedua-dua suspek positif dadah jenis syabu.

“Kedua-dua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Aswandy berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 1.30 pagi ketika mangsa, 48, terjaga daripada tidur kerana terdengar bunyi pagar pintu dibuka.

Beliau berkata, mangsa kemudian terus ke dapur dan mendapati pintu dapur rumahnya telah terbuka dan terdapat seorang lelaki yang bertutup kepala dengan baju berada di dalam dapurnya sambil membawa dan memegang sebilah pisau kecil.

“Mangsa kemudiannya menjerit meminta tolong dan sempat menghampiri suspek dan menarik penutup kepala suspek sehingga tertanggal.

“Setelah itu kedua-dua suspek terus melarikan diri. Tiada kerugian dan kecederaan dialami oleh mangsa,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

TUMPAS…Kedua-dua suspek ditahan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Serian di Kampung Menaul kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak