Pasukan penyelamat menemui dua remaja dalam keadaan selamat.

KUCHING: Dua remaja sesat hampir 17 jam di hutan Kem Permai, Santubong di sini ditemui dalam keadaan selamat oleh pasukan penyelamat.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, kedua-dua mangsa, 19, ditemui pada jam 11.25 pagi.

Katanya, Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dimulakan pada jam 10.30 pagi dan pencarian dibahagikan kepada tiga kumpulan di sekitar kawasan Kem Permai sehingga ke kawasan air terjun tempat terakhir mangsa berada.

“Ketika pencarian dilakukan dari anggaran radius 1 kilometer pertama, anggota SAR terdengar suara mangsa dan terus melakukan carian ke suara lokasi mangsa didengari sehingga menjumpai kedua-duanya dalam keadaan selamat pada jam 11.25 pagi.

“Anggota SAR bersama kedua-dua mangsa selamat tiba di Pusat Kawalan Bomba (PKB) Kem Permai dan seterusnya dibawa ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, kedua-dua mangsa dilaporkan sesat semasa mendaki di Kem Permai, Santubong pada semalam, kira-kira jam 6.42 petang.

Operasi ditamatkan pada jam 12.58 tengah hari.

Unit K9 polis turut digerakkan untuk mengesan kedua-dua mangsa.

Suara Sarawak