DUN Sarawak lulus RUU Perbekalan Tambahan 2022

KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2022) berjumlah RM60,064,358, hari ini.

RUU tersebut dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas tanpa perbahasan dan disokong oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Menurut Uggah yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua, perbelanjaan tersebut adalah bagi menampung beberapa geran operasi tambahan sebanyak 23 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Ia bagi diskaun 25 peratus bagi kadar taksiran bagi pegangan kediaman dengan kadar tahunan melebihi RM400, pegangan komersial, perindustrian dan tujuan khas serta tanah kosong bagi Januari hingga Jun 2022, berjumlah RM18,182,344.

“Ini juga termasuk diskaun 30 hingga 100 peratus ke atas kadar taksiran untuk pegangan kediaman dengan kadar tahunan RM400 dan ke bawah bagi tahun 2020, berjumlah RM23,554,945,” katanya.

Tambahnya, 30 peratus hingga 100 peratus lagi potongan kadar taksiran untuk pegangan lanjutan dengan kadar cukai pintu tahunan di bawah RM400 untuk Januari hingga Jun 2022 berjumlah RM12,176,798.

Di samping itu, Uggah turut membentangkan usul untuk melulus resolusi anggaran perbelanjaan pembangunan tambahan pertama 2022 kepada Jawatankuasa Perbekalan sebanyak RM100 juta bagi membiayai pelaksanaan pelbagai Projek Rakyat yang sedang dijalankan di seluruh negeri.

Suara Sarawak