KUCHING: Tindakan enam remaja lelaki menunggang motosikal secara merbahaya membawa padah apabila ditangkap di Jalan Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yakub, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, semua suspek yang berumur antara 17 hingga 24 tahun itu
ditahan menerusi Op Samseng Jalanan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuching.

“Mereka melakukan aksi superman dengan mengangkat kedua-dua belah kaki lurus ke belakang dan juga menunduk badan serta bersaing sesama sendiri.

“Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kesalahan boleh didenda RM5,000 ke RM15,000 dan penjara tidak kurang dari lima tahun serta hilang kelayakan lesen sehingga lima tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, operasi yang bermula jam 11 malam sehingga 9 pagi itu turut mengeluarkan sebanyak 176 keping saman atas pelbagai kesalahan trafik.

Katanya, sebanyak 18 keping saman dikeluarkan tiada lesen memandu, tiada nombor pendaftaran (23), nombor pendaftaran tidak ikut peraturan (21), tiada perlindungan insuran (satu), gagal tunjuk lesen (empat), tidak pamer cukai jalan (tiga), cukai jalan tamat tempoh (lima), tidak pamer huruf P (hadapan) (tujuh), ubahsuai ekzos (16), ubahsuai struktur peralatan kenderaan (31), hon tidak berfungsi (lapan), brek tidak berfungsi dengan baik (empat), aksesori tidak sempurna (lima) dan tiada cermin sisi (30).

Tambahnya, sebanyak 53 buah kenderaan dan 60 orang telah diperiksa pada operasi tersebut.

“Op Samseng Jalanan akan dilaksanakan secara berterusan bagi mengesan pemandu atau penunggang yang memandu atau menunggang secara merbahaya,” katanya.

Enam remaja lelaki ditahan kerana menunggang motosikal secara merbahaya dan melakukan aksi superman.

 

olis membuat pemeriksaan di Jalan Jalan Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yakub, di sini sempena Op Samseng Jalanan.

Suara Sarawak