Osman Zaini…Pada mulanya semasa di
bangku sekolah rendah,
saya bercita-cita hendak
menjadi pemain bola
sepak negara. Ini kerana
pada masa itu, saya aktif
bersukan di sekolah.
Saya mewakili sekolah
dalam sukan bola sepak,
hoki, bola baling dan
ragbi.

 

PADA usia 31 tahun sudah mentadbir sebuah sekolah rendah. Ini menjadikan beliau sebagai guru besar termuda, melihat kepada usia paling muda dilantik sebagai guru besar.

Sebagai orang muda yang perlu mentadbir sebuah sekolah rendah, dengan rakan-rakan guru lebih senior daripadanya, beliau perlu menyesuaikan diri kerana ia menuntut banyak pengorbanan daripadanya sendiri.

Editor Suara Sarawak RADIN AZHAR AHMAD menemu bual OSMAN ZAINI untuk mendengar pengalamannya dalam profesion perguruan sehingga mampu mentadbir sebuah sekolah rendah di kawasan pedalaman di negeri ini.

 

SUARA SARAWAK: Boleh terangkan perjalanan cikgu sebelum bergelar guru?

Saya memulakan kerjaya sebagai seorang guru bermula pada 17 Januari 2012. Tarikh penempatan pertama saya sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di SK Rajau Ensika, PPD Simunjan.

Merupakan sebuah sekolah pedalaman tiga dan sekolah kurang murid. Sebelum bergelar guru, saya telah menjalani latihan keguruan di Institut Pendidikan Guru Kampus Sarawak, Miri bermula Julai 2006 hingga November 2011.

Hampir enam tahun berkelana di Miri, banyak cabaran dan dugaan lebih-lebih lagi berjauhan dengan keluarga. Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Perguruan (Pengajian Sosial/ Bahasa Melayu/ Pendidikan Jasmani).

 

Adakah guru memang citacita dan pilihan utama cikgu?

Pada mulanya semasa di bangku sekolah rendah, saya bercita-cita hendak menjadi pemain bola sepak negara. Ini kerana pada masa itu, saya aktif bersukan di sekolah.

Saya mewakili sekolah dalam sukan bola sepak, hoki, bola baling dan ragbi. Jiwa sukan sangat kuat pada masa itu kerana adanya guru yang mendidik dan menjadi jurulatih pada masa itu.

Hasilnya, selepas semasa majlis anugerah kecemerlangan murid, saya dinobatkan sebagai Olahragawan Sekolah SK Astana pada tahun 2000.

Alhamdulillah, itulah momen indah dan menaikkan semangat saya pada masa itu. Hingga hari ini, piala itu saya masih simpan.

Apabila masuk sekolah menengah, saya bercita-cita hendak menjadi pegawai polis pula. Masuk tingkatan lima, saya bercita-cita hendak menjadi peguam.

Ini kerana saya sangat gemar akan subjek Sejarah. Sebenarnya pada masa itu, memang tidak terfikir hendak menjadi pendidik. Pada hemat saya, perjalanan saya untuk menjadi guru adalah berkat doa ibu bapa saya yang mahukan salah seorang anak mereka menjadi cikgu.

Terima kasih mak dan bapa atas doa dan keberkatan.

 

Persiapan sebelum bergelar guru?

Semasa di Miri, saya telah menjalani tiga sesi praktikum di sekolah sekitar Miri. Antaranya di SK Tudan, SK Agama Miri dan SK Pujut Corner.

Tujuan praktikum ini diadakan adalah untuk mendedahkan para guru pelatih suasana sebenar semasa mengajar di bilik darjah dan mengetahui budaya kerja profesional keguruan semasa di sekolah.

Dalam masa yang sama, saya juga pernah menjalani sesi praktikal singkat di SK Astana, SK Gersik dan SK Enche Buyong selama satu minggu.

Banyak pengalaman manis dan cabaran indah semasa saya menjalani latihan praktikum di sana. Pastinya, semua guru termasuk para guru besar di sekolah berkenaan sangat membantu, memberi kerjasama yang proaktif dan sentiasa memotivasikan saya.

Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan guru yang selalu membantu.

Sejak bila dilantik sebagai guru besar? Bermula 18 Februari 2020 saya melapor diri memikul amanah sebagai guru besar di SK Segali, Simunjan, sehingga hari ini.

Sebelum ini, saya menjadi guru akademik biasa dan pada tahun ketiga saya mengajar saya dilantik secara dalaman sebagai Guru Penolong Kanan Kokurikulum di SK Rajau Ensika.

Sepanjang menjalankan tugas sebagai Guru Penolong Kanan Kokurikulum inilah saya banyak belajar dan mengutip pengalaman dalam kepimpinan dan pengurusan sekolah.

Terangkan tentang guru besar termuda? Sebenarnya tiada istilah guru besar termuda ini. Cuma kemungkinan saya yang paling muda dilantik menjadi guru besar di Malaysia kerana semasa lantikan tersebut saya berusia 31 tahun.

Jadi, itu kemungkinan menjadi sejarah peribadi saya sendiri kerana berjaya dilantik menjadi guru besar selepas mencapai kriteria dan melepasi ujianujian dan pentaksiran semasa menjalani Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) Ambilan 2 Tahun 2019 selama tiga bulan.

Sebelum layak ke kursus ini, para calon perlu menghadiri temu duga pemilihan, peserta perlu menyertai Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan.

Apabila berjaya dalam temu duga, akan dipanggil untuk ujian kecergasan bagi memastikan semua calon dalam keadaan sihat. Apabila berjaya melepasi ujian kecergasan, barulah dipanggil untuk menjalani kursus NPQEL selama tiga bulan.

Sepanjang kursus, pelbagai pentaksiran dan ujian dijalankan kepada semua calon pengetua dan guru besar bagi memastikan mereka betulbetul bersedia untuk mentadbir dan mengurus sekolah.

Selepas semua calon melepasi kriteria yang ditetapkan, semua calon akan diberi pentauliahan sebagai seorang pengetua dan guru besar.

 

Penerimaan guru senior terhadap cikgu sebagai guru besar?

Alhamdulillah, sehingga ke hari ini saya sangat selesa dan berbangga bersama-sama dengan staf guru dan AKP sekolah.

Ini kerana mereka sangat komited, rajin, bersungguhsungguh dan kreatif dalam budaya kerja mereka. Lebih-lebih lagi dalam situasi dan suasana sekolah pada hari ini, sangat mencabar dan para guru khususnya perlu lebih cakna dan kreatif dalam menyebarkan ilmu kepada semua murid.

Kekok bekerja dengan mereka? Pada mulanya agak kekok juga. Ini kerana hampir 80 peratus staf sekolah adalah berusia 40 tahun ke atas. Jadi ia menjadi satu cabaran untuk saya mewujudkan repo dan komunikasi berkesan kepada mereka.

Tip utama yang saya tanam di dalam hati saya sebagai pemimpin sekolah semasa hari pertama saya menjalankan tugasan adalah, saya perlu dan wajib menghormati semua staf sekolah, sentiasa senyum, bertolak ansur dalam budaya kerja, memudahkan segala urusan mereka dan menjaga kebajikan semua staf sekolah.

Elemen ini penting bagi saya kerana ia adalah langkah pertama yang berimpak tinggi untuk saya mewujudkan atmosfera dan budaya kerja yang positif dan terkawal.

Alhamdulillah, hingga ke hari ini saya masih mengamalkannya dan ia memberi impak yang positif kepada diri saya dan semua warga sekolah.

Di sini saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua guru, staf AKP dan warga kerja swasta sekolah saya kerana komitmen, kerjasama, keceriaan dan tolak ansur mereka menjadikan sekola kita sentiasa dalam keadaan terkawal, bersih, ceria dan selamat untuk semua.

 

Andalah warga kerja yang hebat dan cemerlang. Tanggungjawab sebagai guru besar?

Tanggungjawab sebagai guru besar ini sangat luas dan kompleks skop tugasnya.

Di sini saya boleh ambil satu contoh dalam aspek pengurusan kurikulum. Tugas guru besar amat besar kerana guru besar berperanan sebagai penggerak kepada kurikulum sekolah.

Guru besar berperanan sebagai pemimpin instruksional kepada semua warga sekolah. Guru besar juga akan mengajar dan menjadi suri teladan kepada para guru lain di sekolah.

Pada hemat saya, jika guru besar bersemangat mengajar, ia akan memberi motivasi kepada semua guru agar lebih bersemangat, komited dan kreatif semasa di dalam kelas.

Guru besar juga perlu memastikan pelaksanaan sukatan pelajaran atau kurikulum yang ditentukan oleh Kementerian Pendidikan berjalan mengikut peraturan dan merancang serta memastikan pelaksanaan sukatan pelajaran atau kurikulum di sekolah berjalan dengan sempurna.

Itu serba sedikit yang boleh saya kongsikan. Peranan guru besar muda dalam dunia pendidikan? Secara peribadi, saya fikir banyak peranan yang perlu semua guru besar di Malaysia ambil tahu dan laksanakan demi kelestarian pendidikan Malaysia.

Bagi saya, dalam sudut pandang saya sebagai guru besar muda ini, antara peranan yang saya perlu lakukan adalah memastikan pengurusan dan pentadbiran sekolah sentiasa dalam kawalan; memberi motivasi kepada semua guru dan warga kerja agar lebih komited dan bersungguh-sungguh dalam mendidik anak bangsa.

Selain itu, sentiasa cakna kepada keperluan anak-anak murid semasa di sekolah sama ada dalam aspek kurikulum, sukan dan permainan serta sahsiah murid; berusaha untuk membudayakan transformasi sekolah agar sekolah berada pada landasan yang seiring dengan sekolah cemerlang yang lain.

 

Selain itu?

Seterusnya, mengeratkan hubungan profesional sekolah dengan ibu bapa dan penjaga. Elemen ini penting untuk kemajuan sekolah kerana ibu bapa adalah tonggak kejayaan sekolah.

Begitu juga berusaha mengadakan dan menjalinkan jalinan dan jaringan dengan pihak NGO luar. Ini penting untuk mendapatkan sumbangan dana agar dapat digunakan bagi membangunkan sekolah dan melahirkan kemenjadian murid yang unggul.

Juga, memastikan hubungan erat dan positif sekolah dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan pihak berkepentingan lain sentiasa utuh terjalin agar dapat memudahkan urusan sekolah.

 

Cabaran utama bergelar guru besar dalam usia muda?

Cabaran utama saya sebagai guru besar dalam usia muda ini adalah dalam aspek pengalaman saya sendiri. Maka, untuk menjadikan cabaran ini sesuatu yang menyeronokkan dalam budaya kerja, saya lebih suka bertanya dan belajar daripada para guru besar senior lain dan sentiasa berusaha mencari ilmu.

Saya juga tekad dalam diri saya untuk terus belajar dan mencari pengalaman berkaitan ilmu kepimpinan dan pengurusan ini tanpa rasa malu dan segan.
Ini penting bagi saya untuk memantapkan lagi kemahiran dan kompetensi diri saya sabagai seorang pemimpin sekolah.

Alhamdulillah, rakan guru besar dan KPPD Simunjan sendiri sangat menyokong dan sentiasa bersedia memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada saya. Cikgu menjadi guru besar di luar bandar.

Boleh ceritakan perjalanan dari rumah ke sekolah? Sekolah saya berada di kawasan luar bandar. SK Segali merupakan sebuah sekolah kurang murid. Mempunyai hanya 70 murid, 12 guru dan tiga staf AKP. SK Segali berada dalam zon Sebangan dan sekolah berada di dalam kampung.

Untuk pengetahuan, saya berulang alik setiap hari ke stesen bertugas dari rumah saya di Samariang Aman, Kuching.

Jarak satu perjalanan ke sekolah adalah sekitar 95 kilometer pergi dan 95 kilometer balik.

 

Cabaran mentadbir sekolah luar bandar?

Setiap sekolah cabaran adalah berbeza.

Sekolah kecil atau besar, cabaran juga berbeza. Bagi saya, cabaran utama saya di sekolah luar bandar adalah cabaran untuk saya membudayakan amalan ilmu dan kerajinan ke sekolah kepada anak-anak murid.

Dalam aspek ini, saya perlu tegas dan komited untuk memastikan para murid seronok dan suka ke sekolah. Bangun tidur, sudah terpancul gambaran sekolah dan mereka bersemangat untuk hadir ke sekolah.

Tapi, dalam suasana pendemik lalu, ia menjadi satu kekangan. Cabarannya ialah saya perlu memastikan semua anak murid mengikuti pembelajaran dan pengajaran di rumah dan melaksanakan modul tugasan yang disediakan oleh guru. Para guru saya pula memantau dan menyemak tugasan mereka.

Cabaran mencintai amalan ilmu juga saya amat titikberatkan. Dalam hal ini, bukan sahaja peranan guru di sekolah, malah peranan besar ibu bapa perlu untuk memastikan anak-anak mereka mencintai ilmu.

 

Kejayaan setakat ini?

Alhamdulillah, setakat ini sekolah dalam keadaan terkawal. Kejayaan setiap sekolah juga berbeza dan konteksnya juga berbeza. Dalam konteks sekolah saya, kejayaan yang boleh saya katakan di sini adalah sikap para murid.

Semasa sesi bersemuka, para murid telah menunjukkan sahsiah yang baik dan bernilai tinggi. Ini juga satu kejayaan bagi sekolah kami. Dalam aspek fizikal, sekolah kami tahun lepas telah diberi dua projek naik taraf bangunan akademik sekolah dan pentadbiran.

Terima kasih kepada pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah Simunjan kerana mendengar rintihan para guru besar yang lepas. Impak daripada projek ini telah memberi keselesaan kepada anak-anak murid semasa di dalam kelas dan mereka dapat belajar dengan lebih selesa dan seronok.

Seterusnya, bersandarkan kepada kejayaan akademik dalam UPSR yang lepas, kejayaan kokurikulum sekolah dan sahsiah murid yang unggul, sekolah kami telah terpilih dalam Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) Kohort 6 Tahun 2021.

Terima kasih kepada pihak Pejabat Pendidikan Daerah Simunjan kerana yakin dan percaya kepada sekolah kami. Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan Malaysia ke arah meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah berkualiti.

Melalui TS25, adalah diharapkan sekolah yang terlibat berupaya mengaplikasikan amalan terbaik dalam pelaksanaan pengurusan dan kepimpinan serta pedagogi dalam pembelajaran dan pengajaran (PdP) selari dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 hingga 2025.

Masa depan cikgu dalam dunia pendidikan? Dalam pemikiran dan misi saya sekarang, saya akan terus berusaha lebih gigih dalam arena pendidikan ini demi membangunkan anak bangsa Malaysia yang unggul dalam semua aspek.

Saya bercita-cita untuk mencabar diri saya pergi lebih jauh dalam arena pendidikan ini agar pengalaman, ilmu dan aspirasi yang ada pada saya dapat membantu organisasi pendidikan kearah lebih lestari, cemerlang dan diyakini semua masyarakat. Dalam masa yang sama juga, saya akan terus belajar dan mencari pengalaman yang lebih dengan para pendidik lain.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak