Gambar hiasan

KES buli pelajar di Malaysia terus menjadi perbualan hangat selepas tular satu video kejadian buli di sebuah sekolah berasrama di Perak baru-baru ini.

Sekurang-kurangnya tujuh pelajar lelaki tingkatan dua sebuah sekolah menengah cedera dan trauma selepas menjadi mangsa buli pelajar tingkatan empat sekolah berkenaan.

Perkara ini bukan sahaja membimbangkan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka belajar di asrama atau institusi pendidikan tetapi juga memerlukan perhatian serius daripada pelbagai pihak.

Kejadian buli bukannya berlaku setahun dua tetapi nampaknya sudah menjadi tradisi sejak berpuluh-puluh tahun.

Ia seolah-olah dilihat menjadi tradisi kerana setiap tahun ada sahaja kes dilaporkan melibatkan sekolah, institusi pengajian tinggi mahupun pusat latihan badan beruniform.

Persoalannya, sampai bilakah kes buli ini berlarutan?

Mengapa kejadian seperti ini tidak dapat diselesaikan hingga kini?

Seperti kita ketahui, sebelum ini, kes buli berprofil tinggi melibatkan pegawai kadet laut yang juga pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Zulfarhan Osman Zulkarnain menggemparkan negara.

Dalam kejadian pada 2017 itu, Zulfarhan dibuli dengan teruk termasuk badannya ditekap menggunakan seterika wap sehingga menyebabkan kematian.

Mangsa malang itu dipercayai diseksa tanpa belas kasihan hanya kerana ingin mendapatkan pengakuannya bahawa dia mencuri komputer riba.

Kejadian ini amat menyayat hati, namun begitu perbuatan buli terus berlegar pada setiap tahun tanpa ada penamatnya.

Sesungguhnya perbuatan buli berlaku kerana pembuli ingin menunjukkan diri mereka kononnya lebih kuat atau berkuasa dibandingkan dengan mangsa.

Selain itu, pembuli juga berasa puas apabila melakukan buli.

Hal ini kerana, semakin takut mangsa maka semakin tinggi kepuasan dirasai oleh pembuli.

Apabila berbicara berkenaan buli, ramai yang beranggapan aksi buli adalah seperti menumbuk, menendang, membelasah dan sebagainya.

Tetapi setiap pembuli ini mempunyai gaya dan taktik yang berbeza untuk menakutkan mangsa mereka.

Perbuatan buli tidak hanya terbatas dengan pergerakan melibatkan fizikal tetapi juga melibatkan buli lisan, seksual, siber dan prasangka.

Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin sebelum ini pernah menegaskan tindakan segera dan tegas dikenakan kepada mana-mana sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang cuba menyembunyikan kes buli di sekolah masing-masing.

Menurut KPM, ia tidak menolak kemungkinan terdapat kes buli tertentu tetapi tidak dilaporkan oleh pihak sekolah bagi menjaga nama institusi.

Untuk itu, KPM merangka satu tindakan bagi membanteras buli di sekolah membabitkan pengukuhan dan penambahbaikan kepada pendekatan sedia ada dengan tumpuan kepada empat komponen utama iaitu penyedaran, pelaporan, penghukuman dan pemantauan.

Bagaimanapun, perlu ada pendekatan lebih menyeluruh untuk menamatkan isu buli supaya sekolah terus berperanan melahirkan anak cemerlang dan terbilang dalam persekitaran kondusif dan selamat.

Sudah tiba masanya kerajaan mengambil pendekatan lebih tegas untuk mencegah dan menangani masalah buli di sekolah atau manamana institusi pendidikan.

Di samping itu, ibu bapa atau penjaga pula perlu mendidik anak mereka agar tidak menjadi pembuli.

Ibu bapa memainkan peranan lebih besar mendidik dan membentuk karakter serta sahsiah anak.

Untuk sekolah berasrama penuh pula, warden asrama memainkan peranan dan melakukan proses pemantauan terhadap gerak-geri dan tingkah laku pelajar seperti membuat pemeriksaan mengejut secara berkala serta memperkasa langkah penguatkuasaan hukuman sewajarnya.

Di samping itu, perkukuhkan pendidikan agama dan nilai moral yang menekankan amalan murni dalam kehidupan seharian amat penting, bukannya hanya sekadar menghafal semata-mata untuk lulus subjek berkenaan.

Suara Sarawak