KUCHING: Terdapat keperluan mendesak untuk menubuhkan sebuah lagi hospital awam di daerah Bintulu, kata Adun Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming.

Gesaan ini katanya adalah ekoran daripada peningkatan jumlah penduduk di kawasan berkenaan serta peningkatan peluang pekerjaan yang telah disediakan hasil pelaburan pemain industri di Bintulu.

“Kapasiti hospital sekarang nampaknya tidak mampu menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat mengunjungi hospital setiap hari.

“Malah, untuk mencari tempat letak kereta juga merupakan satu cabaran besar kepada semua pesakit dan keluarga.

“Perkara seperti ini benar-benar mengecewakan malah turut menambah beban kepada rakyat di sini,” katanya.

Sehubungan itu kata Pang, kerajaan juga boleh mempertimbangkan pembesaran (tempat letak kereta) dengan merizab tanah-tanah di sekeliling hospital sedia ada.

Beliau berkata demikian dalam penampilan sulungnya semasa membahaskan Usul Penghargaan Atas Ucapan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada persidangan DUN Sarawak Ke-19 , hari ini.

Suara Sarawak