PILU… Wan Junaidi menaburkan bunga ke atas kubur arwah isterinya – foto Ramidi Subari

KUCHING: Datin Seri Feona Sim @ Norjanah, isteri kepada Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar selamat dikebumikan pada jam 11.15 pagi, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) itu berkata, semua urusan pengebumian arwah isterinya berjalan dengan lancar.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam melancarkan proses pengebumian serta sudi hadir memberikan sokongan kepada kami sekeluarga.

“Saya masih dlm keadaan yang sangat sedih … Terima kasih,” katanya ringkas ketika ditemu wartawan selepas selesai pengebumian arwah isterinya di Tanah Perkuburan Islam Samariang, di sini, hari ini.

Sementara, sejak jam 8.30 pagi, tempat kediaman Ahli Parlimen Santubong itu telah dikunjungi orang ramai.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut hadir pada jam 8.55 pagi dan menyertai solat jenazah sekitar jam 9.00 pagi.

Turut hadir Ahli Parlimen Batang Sadong Datuk Seri Nancy Shukri; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah; Adun Tupong Fazzrudin Abdul Rahman dan lain-lain.

Terdahulu, Allahyarhamah berusia 70 tahun disahkan meninggal dunia akibat pendarahan dalaman di Borneo Medical Centre, Kuching, sekitar jam 6 petang, semalam.

Abang Jo (tiga kanan) dan Wan Junaidi (dua kiri) bersama-sama yang lain ketika solat jenazah Allahyarhamah – Foto Ramidi Subari

Suara Sarawak