KUCHING: Pembangunan semula perumahan Borneo Samariang Garden (BSG) apabila diambil alih Kerajaan Sarawak kelak akan menumpukan kepada mereka yang memiliki Perjanjian Jual dan Beli (S&P) serta telah membuat pembayaran setiap bulan.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi II (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata ia adalah usaha kerajaan negeri dalam memastikan masalah yang dihadapi pembeli dapat diselesaikan.

“Bagi mereka yang sudah membayar pembiayaan rumah setiap bulan tetapi rumah masih belum siap, tumpuan akan diberikan kepada mereka.

“Keadaan ini merupakan satu berita yang mengecewakan kerana masalah yang ditanggung oleh pembeli rumah susulan potongan gaji setiap bulan, namun tidak menunjukkan sebarang hasil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas menyempurnakan majlis Hari Raya Aidilfitri, di The Waterfront Hotel, di sini, semalam.

Adun Pantai Damai itu menambah terdapat tiga kategori pembeli yang terlibat dalam pembelian perumahan tersebut.

Beliau berkata antaranya adalah mereka terdiri daripada pembeli yang membuat pinjaman dengan agensi kerajaan negeri iaitu melalui Borneo Housing.

Selain itu, katanya melibatkan kakitangan persekutuan yang membuat pembiayaan melalui Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) dan seterusnya pembeli yang meminjam dari bank swasta.

Menurut Abdul Rahman, kes berkenaan adalah yang pertama melibatkan pemaju dari luar Sarawak iaitu dari Kuala Lumpur, menyebabkan sukar untuk berhubung bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Bagaimanapun katanya, Kerajaan Sarawak sedang berusaha untuk memastikan projek tersebut dapat disiapkan di samping membantu mereka yang telah membeli rumah di situ.

 

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi II (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi ketika ditemu-bual sempena Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitrinya di The Waterfront Hotel, Kuching hari ini.

Suara Sarawak