KUCHING: Kerajaan Sarawak perlu berusaha menarik pelabur untuk membuka ladang jagung berskala besar dan menjadikan Sarawak pengeluar utama jagung di negara ini.

Adun Stakan Datuk Hamzah Brahim berkata dengan keluasan aset tanah, Sarawak berpotensi memperluaskan lagi tanaman jagung bagi mengurangkan kebergantungan kepada import bahan itu.

“Ia walaupun baru-baru ini telah diumumkan bahawa Malaysia menyasarkan pengeluaran 600,000 metrik tan jagung bijirin untuk makanan ternakan dalam tempoh 10 tahun lagi dengan 280 hektar kawasan telah dibuka untuk tanaman jagung di Sarawak, Perlis, Kedah, Pahang dan Perak.

“Ketika ini Malaysia mengimport 100 peratus jagung bijirin atau kira-kira dua juta tan setahun dari Argentina, Brazil dan Amerika Syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perbahasan sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini, hari ini.

Pada masa sama, Hamzah berkata pekebun-pekebun kecil di Sarawak juga boleh merebut peluang berkenaan dengan meningkatkan hasil pengeluaran.

“Mereka juga boleh merujuk kepada Jabatan Pertanian Sarawak dan agensi berkaitan bagi mendapatkan nasihat dan bantuan dalam meningkatkan hasil tanaman.

“Ini juga penting bagi memastikan kesesuaian tanaman yang diusahakan di tanah rendah dan tanah tinggi, supaya ia memberi pulangan setimpal,” katanya.

Suara Sarawak