SARIKEI: Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cawangan Sarikei mengedarkan 120 bungkus cenderamata sempena sambutan Hari Palang Merah Sedunia kepada kepada Hospital Sarikei.

Sumbangan itu kemudiannya diagihkan oleh kakitangan kepada semua pesakit di wad hospital berkenaan.

Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan Penasihat Kehormat BSMM Cawangan Sarikei Datuk Ding Kuong Hiing kepada wakil Hospital Sarikei, Dr. Rita Lau Yue Qi, Khamis.

“Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia meraikan keunikan dan perpaduan pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa.

“Tahun ini, tema global didorong oleh tindakan kebaikan di seluruh dunia — Jadilah Manusia Baik,” kata Kuong Hiing yang juga Adun N.46 Meradong.

Beliau berkata, sejak kebelakangan ini, dunia berdepan pelbagai krisis termasuk perubahan iklim, konflik kemanusiaan selain berdepan kemelut Covid -19.

Senario global itu katanya, menuntut semua pihak supaya bersatu hati dan menangani setiap cabaran secara positif.

“Kebaikan ada di sekeliling kita. Tidak kira besar atau kecil, mereka membuat perubahan besar dalam kehidupan manusia.

Kita percaya tindakan kebaikan mempunyai kuasa untuk mengubah keadaan menjadi lebih baik,” ujarnya.

Naib Pengerusi BSMM Cawangan Sarikei Lim Choon Chai, Setiausaha Kehormat BSMM Cawangan Sarikei Wong Siew Hung dan kakitangan hospital turut hadir.

SUMBANGAN… Kuong Hiing menyampaikan sumbangan kepada wakil hospital sambil diperhatikan yang lain.

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak