Gambar hiasan

KEMERIAHAN masyarakat Dayak menyambut Hari Gawai semakin terasa dengan penganjuran pelbagai jenis pertandingan yang berasaskan adat lama seperti pencarian kumang, keling, pertandingan sape, tabuh dan sebagainya.

Sudah tentu masyarakat Dayak tidak sabar ingin pulang ke kampung untuk meraikan hari yang cukup indah ini.

Malah, ada dalam kalangan mereka sudah membeli barang untuk dibawa pulang ke rumah kerana kebanyakan kampung masyarakat Dayak berada di luar bandar.

Namun, beberapa perkara harus diperhatikan sebelum seseorang itu balik ke kampung agar dapat mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Terdapat beberapa langkah yang mesti diambil kira sebelum pulang seperti keselamatan dan kesihatan, terutamanya pada waktu ini wabak Covid-19 belum pupus sepenuhnya.

Aspek keselamatan adalah aspek yang paling penting kepada kita apabila mengambil keputusan balik ke kampung bagi tempoh yang lama.

Oleh kerana kampung halaman berada di kawasan luar bandar, keselamatan rumah menjadi perkara yang sangat penting diperhatikan agar tidak berlaku kejadian rompakan, kecurian dan sebagainya.

Sekiranya mempunyai jiran tetangga yang tidak balik, sila maklumkan kepada mereka agar mereka tahu yang kita tidak berada di rumah pada sesuatu tempoh.

Selain itu, kita juga mesti memastikan semua sambungan elektrik, soket dan wayar elektrik dipadamkan untuk mengelakkan berlakunya renjatan elektrik atau kebakaran semasa kita balik ke kampung.

Hal ini amat penting kerana boleh membahayakan harta benda yang tinggal di dalam rumah seperti perabot, sofa, almari dan sebagainya. Kita tidak mahu, kerana hal yang seperti itu menyebabkan perayaan Hari Gawai menjadi suram dan sedih.

Selain keselamatan rumah, kita juga perlu memastikan keselamatan kenderaan berada pada tahap yang baik sebelum balik ke kampung. Ini bagi memastikan keadaan kereta kita selamat dan tidak mengalami kerosakan semasa perjalanan balik ke kampung.

Untuk perjalanan yang jauh kita harus menghantar kereta ke pusat servis terlebih dahulu supaya tahap keselamatan kereta berada pada tahap maksimum.

Malah, pemandu yang memandu kereta juga harus berada dalam keadaan sihat dan tidak letih bagi mengelakkan situasi mengantuk, lemah dan sebagainya.

Elakkan memandu dalam keadaan mabuk dan kesan alkohol kerana ia boleh menyebabkan pemandu hilang kawalan dan membahayakan nyawa diri sendiri, penumpang dan pengguna jalan raya yang lain.

Ini bakal memberi peristiwa ngeri kepada kita yang sepatutnya berasa seronok balik ke kampung tetapi bertukar dengan keadaan trauma dan sedih.

Kita berharap dapat mengurangkan rekod kemalangan semasa musim perayaan bagi meraikan hari tersebut bersama ibu bapa, adik-beradik, anak-anak, sanak-saudara dan orang kampung.

Sekiranya kita mempunyai haiwan peliharaan yang banyak, pastikan haiwan-haiwan ini ada makanan yang mencukupi atau dibawa pulang ke rumah.

Kita tidak mahu ada individu yang mencari kucing atau anjing yang hilang selepas balik ke rumah.

Ini kerana haiwan-haiwan ini akan keluar mencari makanan apabila berasa lapar sehingga mereka sesat atau tidak tahu jalan balik ke rumah.

Sekiranya meninggalkan kucing atau anjing di rumah, kita harus menyediakan makanan yang banyak kepada mereka untuk dimakan bagi tempoh yang lama selain bekalan air minuman yang mencukupi.

Tetapi lebih baik untuk kita meminta bantuan jiran memberi haiwan-haiwan ini makan supaya kebajikan mereka lebih terjamin dan selamat.

Satu lagi, langkah yang baik untuk memastikan haiwan kita tidak hilang apabila ditinggalkan ialah menghantar mereka ke pusat jagaan yang berbayar.

Oleh itu, kita mesti memastikan semua hal yang remeh seperti ini diperhatikan semasa ingin pulang ke kampung untuk meraikan Hari Gawai.

Adalah lebih indah sekiranya kita dapat meraikan Hari Gawai bersama-sama keluarga dan pulang ke rumah dengan selamat dan meneruskan kehidupan dengan lebih sempurna.

Suara Sarawak