ASAJAYA: Pasukan Jas FC muncul juara selepas menumpaskan SHOAW Oldboys (1-0) pada perlawanan akhir edisi ke-54 Kejohanan Bola Sepak Piala Perpaduan Kampung Sambir, Asajaya (Piala Pusingan ADUN Asajaya, Datuk Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah).

Pada aksi mendebarkan di Padang Bola Sepak Kampung Sambir, Asajaya itu, bekas penyerang Kuching City FC (KC FC), Paul Sambang muncul wira apabila meledak gol kemenangan menerusi rembatan leret minit ke-51.

Ia sekali gus mengulangi pencapaian terbaik yang pernah dilakukan Jas FC pada 2012.

Kejayaan itu, membolehkan Jas FC membawa pulang wang tunai RM5,000, piala pusingan, piala iringan, pingat dan baucer tunai RM1,000 tajaan Lea Sports Centre (LSC).

Sementara itu, wang tunai RM3,000 beserta piala, pingat dan baucer tunai RM600 diterima pasukan SHOAW Oldboys selaku naib juara.

Dalam pada itu, pasukan GTA Telaga Air dan Mix A yang tewas di peringkat separuh akhir masing-masing menerima wang tunai RM1,500 selain pingat dan baucer tunai RM300 tajaan LSC.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Hadir sama Ahli Parlimen P.197 Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang, Pengarah Urusan Lea Holdings (M) Sdn. Bhd. Datuk Raymond Sim Hee Pang, Penaung Kelab Bola Sepak Sambir Bistari (KBSB), Datuk Abdullah Julaihi, Setiausaha Politik Premier Sarawak Buang Bolhassan, Pegawai Daerah Asajaya Rais Ahmat serta ketua-ketua masyarakat.

JUARA….Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Datuk Rubiah Wang (tengah) merakam gambar bersama pemain Jas FC.

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak