KUCHING: Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor Lebuhraya Pan Borneo telah membuat beberapa penambahbaikan di sepanjang jalan yang masih dalam pembinaan sempena Perayaan Gawai Dayak yang akan disambut pada 1 Jun ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan Raya) Datuk Dr Jerip Susil berkata, usaha ini dilaksanakan bagi mengelakkan berlakunya kemalangan jalan raya.

“Sehubungan itu, kementerian menerusi JKR dan dan Kontraktor Lebuhraya Pan Borneo akan meletakkan beberapa papan tanda amaran tambahan, alat pemantul cahaya yang lebih efektif serta menyelenggara dan menambah baik lencongan berbahaya,” katanya.

Datuk Dr. Jerip Susil (dua kanan) merasmikan Kempen Keselamatan Sempena Perayaan Gawai Dayak Peringkat Kuching di Stesen Minyak Petros Darul Hana, Kuching.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Perayaan Gawai Dayak Peringkat Bahagian Kuching, di Stesen Minyak Petros, Darul Hana, di sini, hari ini.

Jelas Jerip, penganjuran Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Perayaan Gawai Dayak ini adalah untuk mendidik pemandu supaya lebih berhemah ketika memandu.

Justeru katanya, kementeriannya berbesar hati dengan seluruh agensi kerajaan yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), JKR, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) serta beberapa pertubuhan yang menjayakan program itu.

Beliau berkata, kempen sempena Perayaan Gawai Dayak tersebut diharap mampu mengurangkan risiko berlakunya kemalangan jalan raya yang semakin membimbangkan.

“Saya mengharapkan bahawa pengguna jalan raya memandu dengan berhemah semasa berada di jalan raya, walaupun semua ingin pulang ke kampung dengan cepat, tetapi aspek keselamatan perlu diambil berat.

“Justeru, semua arahan-arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan berlaku apa-apa tragedi hendaklah dipatuhi, kempen ini juga tidak terhenti setakat sambutan ini, bahkan berterusan selepas Perayaan Gawai Dayak,” katanya.

BERHEMAH… Datuk Dr. Jerip Susil menyampaikan cenderamata kepada pengguna jalan raya

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak