PERALIHAN ke fasa endemik sememangnya satu perkara yang baik kerana pelbagai aktiviti dan majlis boleh dilaksanakan ketika ini.

Berbeza dengan tempoh dua tahun lalu, lebih-lebih lagi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan — banyak perkara yang dihadkan termasuk penganjuran majlis keramaian.

Tiada suasana meriah boleh kita nikmati kerana apa-apa sahaja yang kita ingin lakukan dan anjurkan, semua perlu dalam keadaan sederhana.

Sepanjang tempoh PKP, berkumpul bersama-sama keluarga juga tidak digalakkan lebih-lebih lagi pada sambutan Hari Raya apabila jumlah tetamu yang hadir dihadkan.

Perkara tersebut juga telah membataskan anak-anak perantauan untuk pulang beraya di kampung halaman.

Paling ketara adalah majlis perkahwinan. Jumlah tetamu dihadkan, bahkan untuk majlis akad nikah pula perlu menunggu giliran.

Ada juga tular pasangan yang mendapat tarikh pada saat akhir dan persiapan terpaksa dibuat dalam tempoh yang singkat.

Ini kenangan manis yang dapat kita lihat sepanjang tempoh PKP, namun yang menjadi perhatian adalah perniagaan yang melibatkan perkahwinan.

Ada yang mengeluh dan mengatakan bahawa aktiviti perniagaan berjalan perlahan. Sehubungan itu, adakah perniagaan yang menyediakan perkhidmatan perkahwinan seperti katering, jurusolek, perancang perkahwinan gulung tikar ketika ini?

Adakah mereka masih bertahan dalam perniagaan dan sebagainya?

Memetik laporan berita nasional, pada tahun lalu nasib 200,000 pekerja perkhidmatan majlis perkahwinan dan katering di seluruh negara terjejas teruk kerana hilang sumber rezeki disebabkan sektor itu masih tidak dibenarkan beroperasi selepas diarah tutup sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

Upah harian

Pada masa yang sama, majoriti pekerja dalam golongan B40 itu dikategorikan sebagai individu bekerja sendiri kerana bergantung kepada upah harian dalam sektor berkenaan yang belum dibenarkan beroperasi di bawah fasa satu, dua dan tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Presiden Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM) Zarinah Mohideen sebelum ini ada memaklumkan bahawa pendirian kerajaan terhadap sektor perkhidmatan sosial itu menyebabkan ada pengusaha gulung tikar, selain terpaksa menjual aset perniagaan kerana tidak mampu menanggung beban kos operasi tinggi.

Dalam hal berkaitan, tempoh peralihan ke fasa endemik bermula 1 April lalu telah membuka banyak operasi lebih-lebih lagi sektor perniagaan.

Dalam fasa ini juga, banyak aktiviti termasuk majlis perkahwinan dibenarkan, sekali gus membuka peluang kepada sektor perkhidmatan perkahwinan kembali bernafas.

Menurut laporan berita nasional, peralihan ke fasa endemik telah membantu merancakkan kembali sektor perniagaan jurusolek apabila mereka turut menerima kesan positif daripada pembukaan semula sektor ekonomi di Malaysia berikutan pandemik Covid-19.

Bagi jurusolek, ia khabar gembira, sekali gus boleh menarik nafas lega kerana majlis sosial seperti perkahwinan, minum petang dan makan malam boleh diadakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Ini merupakan satu perkara baik, yang bukan sahaja mampu membantu masyarakat untuk mencipta kenangan indah tetapi juga boleh membantu pemain industri menstabilkan pendapatan selepas menghadapi cobaan hebat ketika pandemik melanda dua tahun lalu.

Jimat kos Sememangnya, ketika tempoh Covid-19 ramai yang beranggapan bahawa berkahwin ketika itu menguntungkan kerana dilaksanakan dalam majlis yang kecil tanpa melibatkan ramai tetamu.

Sudah pasti perkara ini menjimatkan kos untuk melaksanakan majlis.

Bagaimanapun, bagi masyarakat kita, perkahwinan bukan hanya untuk berhias cantik, mempunyai pelamin yang indah semata-mata tetapi ia juga untuk mengeratkan silaturahim antara ahli keluarga dan sahabat handai.

Sudah pasti kita ingin meraikan hari bahagia dengan mencipta kenangan yang indah.

Tetapi masyarakat juga mempunyai stigma iaitu jika mengadakan perkahwinan dalam sakala besar besaran, ia seperti pembaziran.

Setiap agama sudah pasti sangat mengutamakan perkahwinan.

Dari sudut Islam, perkahwinan adalah pembentukan institusi keluarga Islam bertitik tolak daripada perkahwinan.

Malah, dalam Islam sendiri, perkahwinan itu sangat-sangat dianjurkan.

Terdapat banyak ayat alQuran dan hadis yang menyarankan agar umat Islam berkahwin.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Maka kahwinlah kamu mana-mana yang baik bagi kamu daripada wanita dua, tiga atau empat. Maka sekiranya kamu khuatir bahawa kamu tidak dapat berlaku adil, maka cukuplah seorang sahaja.” (Surah an-Nisa’, ayat 3).

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan kahwinilah orang yang sendirian di antara kamu, dan orang yang layak (berkahwin) daripada hamba lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan mengayakan mereka daripada rezeki-Nya. dan Allah Maha Luas Pemberian-Nya dan Maha Mengetahui.” (Surah al-Nur, ayat 32)

Kesimpulannya, yang menjadi perhatian adalah bagaimana kita melaksanakan majlis tersebut.

Adakah mengikut adat kaum dan bangsa atau cukup sekadar melaksanakan apa-apa yang wajib menurut agama masing-masing?

Suara Sarawak