ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang ketika menyampaikan perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.

KUCHING : Kerajaan Sarawak perlu mengkaji semula usaha untuk mengatasi masalah setinggan yang masih membelenggu bandar Miri.

ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata Miri mempunyai populasi setinggan antara yang tertinggi di Sarawak berikutan banyak faktor termasuk peranannya sebagai pusat minyak dan gas yang menyediakan banyak peluang pekerjaan.

“Migrasi dari kawasan luar bandar banyak berlaku. Di kawasan Pujut sahaja, terdapat kira-kira 690 isi rumah setinggan yang terpaksa ditempatkan semula.

“Setakat ini, penempatan semula kebanyakannya dengan cara memperuntukkan sebidang tanah alternatif atau memberi lot.

“Namun, berdasarkan pemerhatian saya, penyusunan ini tidak sesuai kerana disebabkan kekangan kewangan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.

Adam menambah kekangan kewangan memaksa penghuni membina semula rumah mereka menggunakan bahan kitar semula dari rumah lama, dan kediaman yang baharu itu secara amnya tidak dibekalkan dengan infrastruktur yang baik seperti akses jalan raya, elektrik dan air.

Pendekatan itu katanya, kurang memberikan impak dan tidak menambah baik keadaan hidup mereka.

“Cara ini sebenarnya menambahkan beban kewangan mereka. Oleh itu, saya mencadangkan agar pihak berkuasa mengkaji pembinaan rumah kos rendah untuk mereka.

“Melalui pendekatan ini, kita dapat menyediakan mereka dengan kemudahan seperti elektrik dan bekalan air yang diperlukan. Ini sudah pasti memberi peluang kepada mereka untuk menikmati corak hidup yang lebih baik,” katanya.

Suara Sarawak