Rakaman video kejadian dirakamkan oleh netizen yang diberikan terus kepada pemberita.Video ihsan netizen

SIBU: Sebuah bangunan kedai kopi di Batu 8, Jalan Airport (bersebelahan Stesen Minyak Petronas) dilaporkan terbakar petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataan berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 4.40 petang.

Katanya BBP Sibu Sentral turut dikerahkan ke lokasi kejadian untuk membantu memadamkan kebakaran.

“BBP Sg. Merah menggerakkan asetnya dengan sebuah jentera FRT berserta enam anggota dan jentera EMRS beserta 4 anggota diketuai oleh PBK II Rorudi Umas.

“Manakala balai bantuan, BBP Sibu Sentral turut menghantar sebuah jentera FRT berserta tujuh anggota dan sebuah EMRS beserta dua anggotanya diketuai PBK II Norman Matu,” katanya.

Ujarnya, Komander Operasi Kanan PKPgB Jackson Ngau telah melaporkan kebakaran melibatkan sebuah bangunan kedai kopi jenis struktur separuh kekal dua tingkat berukuran 20 kaki x 40 kaki telah terbakar 70 peratus.

Setakat ini, menurutnya, anggota bomba masih melakukan operasi pemadaman api di tempat kejadian.

Sehingga berita ini ditulis, belum diketahui sama ada kejadian ini melibatkan sebarang mangsa.

Berita lanjut akan menyusul kemudian setelah menerima maklumat penuh dari pihak bomba.

Suara Sarawak