KUCHING: Jasa dan perjuangan mendiang Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing di Bahagian Kapit khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh meninggalkan kesan mendalam kepada penduduk di kawasan itu.

Menurut Adun Baleh Nicholas Kudi Jantai, ini kerana mendiang merupakan pemimpin berjiwa rakyat yang sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat dan memperjuangkan kemajuan masyarakat luar bandar.

Katanya, selama tujuh penggal sebagai Adun Baleh, banyak peruntukan pembangunan infrastruktur yang telah mendiang bawakan ke kawasan Baleh.

“Antaranya, projek pembinaan Empangan Hidroelektrik Baleh dengan kos 2.9 billion, jalan akses ke Empangan Hidroelektrik Baleh bermula dari Jambatan Nanga Mujong sepanjang 73 km dengan kos RM1.2 bilion (sedang dilaksanakan) dan jalan akses Rumah Tunggu Phase 1-Section 1 dan 2 (sedang dilaksanakan).

“Begitu juga dengan Jalan raya Ng Sepanggil-Tunoh (jalan masuk ke Tunoh) dengan kos RM600 juta yang telah diluluskan, jalan raya Rumah Nyamok / Nanga Serau / Nanga Gaat / SMK Baleh / Sungai Kain dengan kos bernilai RM550 juta diluluskan untuk pelaksanaan RMK-12 dalam dua fasa, Jambatan Batang Baleh, Sungai Banyau, Sungai Mujong siap dengan kos RM123 juta dan Hambatan Sungai Merirai dengan kos RM3.9 juta sedang dibina,” katanya.

Nicholas berkata demikian semasa Usul Penghargaan Atas Ucapan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Seri Abdul Taib Mahmud pada persidangan Dun Sarawak Ke-19, semalam.

Suara Sarawak