BERGELAR diri sebagai guru diakui bukan satu tugas mudah. Jika mudah tugas guru itu, maka semua orang boleh menjadi guru di dunia ini.

Namun bagi guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman terutama di Sarawak cabaran, rintangan dan halangan yang dilalui mematangkan dan memanusiakan jiwa mereka apatah lagi situasi dialami tidak semua orang mampu menghadapinya.

Bagi salah seorangnya, guru wanita yang kini berkhidmat di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Busang Belaga, Cikgu Jezriel Sulang Ucho mengakui menjadi guru di pedalaman bukan hanya karier semata-mata, sebaliknya  sebuah perjuangan dan satu cara hidup yang perlu difahami oleh setiap guru.

“Bicara soal beratnya tugas  seorang guru, apalagi guru pedalaman, ia akan menjadi debat yang tidak berpenghujung kerana menjadi guru pedalaman sangat besar cabarannya,” jelasnya yang berkhidmat selama tiga tahun di sekolah berkenaan. Kata guru berusia 26 tahun itu, terdapat jarak pemisah yang jelas antara pedalaman dengan bandar menjadi cabaran buat dirinya mengajar.

“Keadaan menyebabkan pelajar pedalaman kurang terdedah penggunaan teknologi untuk belajar berbanding pelajar di bandar,” katanya. Menurutnya,  SK Long Busang ini tidak asing juga dengan cabaran kekurangan tenaga kerja untuk mengajar dan kerja pentadbiran sekolah.

“Kami melengkapkan diri dengan 1001 kemahiran termasuk kerja membaik pulih paip, elektrik dan menjadi doktor kepada murid demi memastikan kelancaran pengurusan dan pentadbiran sekolah agar murid dapat belajar dalam suasana yang kondusif.

“Saya tabik dengan guru pedalaman yang tidak memandang ringan akan keperluan ini.  Kecenderungan bekerja sambil lewa itu tidak asing juga bagi kami kerana status guru pedalaman membawa persepsi berbeza. “Tetapi, syukur juga kerana adanya rakan guru yang kolaboratif menegur satu sama lain di samping berusaha membina suasana kerja yang aktif dan efisien,” jelasnya.

Menurut anak kelahiran Sibu ini, selagi ada cabaran yang wujud, selagi itu ada cara untuk mendepani dan menjalaninya. “Setiap kali cuti sekolah, kami akan menggunakan kesempatan berada di bandar untuk memuat turun dan memuat naik dokumen serta data yang berkaitan.

“Kesempatan untuk membelibelah di bandar juga akan dihabiskan dengan mendapatkan bekalan bahan mengajar dan keperluan peribadi yang secukupnya.  “Untuk pelajar, kami juga ikhtiarkan mereka dengan pendedahan visual yang dapat kami tunjukkan menggunakan peranti sedia ada agar tidak terlalu asing dengan isi pelajaran yang sepatutnya mereka pelajari dalam sukatan pelajaran semasa.

“Di samping itu, sekolah juga akan sentiasa mendedahkan murid dengan dunia luar melalui penglibatan murid dalam program dan pertandingan bertaraf antarabangsa, kebangsaan, mahupun negeri,” kongsinya.

Jelasnya, berkongsi mewakili semua guru pedalaman lain, kurangnya tenaga kerja sehingga membebankan guru memaksa guru pedalaman ini menjadi lebih proaktif dalam menguruskan masa dan emosi serta mental mereka.

“Guru seperti kami ini perlu mencuri masa untuk menikmati me-time dan terapi kendiri sekerap yang boleh.  “Oleh itu, aktiviti masa lapang guru pedalaman di SK Long Busang diisi dengan aktiviti seperti bersukan, memancing, berkelah di tepi sungai dan berburu.

“Dalam erti kata lain, guru pedalaman terpaksa mencari keseronokan tersendiri dengan memanfaatkan apa yang ada di sekeliling mereka sebaiknya, maka mereka perlu bijak menyesuaikan diri dengan alam yang ada,” ujarnya lagi.

Jezriel turut mengakui tiada cara lebih mudah kekal bertahan menghadapi cabaran dan rintangan menjadi guru pedalaman, selain perlu sentiasa berfikir di luar kotak dan setia pada nawaitu menjadi seorang guru.

“Walaupun bicara dan pendapat ini hanya pendapat seorang guru novis pedalaman, namun besar harapan saya agar guru tetap ingat bahawa tugas utama sebenar ialah murid-murid dan bukannya kita.  “Jika semua guru pedalaman sekadar merungut beratnya tugas guru pedalaman tanpa ikhtiar mengatasi cabaran, jadi pada siapa lagi dapat kita letakkan nasib murid di pedalaman?.

“Seorang guru yang tersasar daripada niatnya berbakti pada murid akan sentiasa menemui jalan buntu dalam kariernya,” katanya lagi.

Jazriel percaya sungguhpun kerjaya guru kerjaya berat, namun nikmat berkat itu dapat dirasakannya dalam kejayaan murid yang diajar. “Biarpun kejayaan ini sekadar sekecil membantu kemampuan mereka mengenal dan menguasai ABC sekalipun.

“Semoga murid di seluruh dunia akan terus menghargai pengorbanan guru mereka dan ketahuilah bahawa, menjadi seorang manusia yang bertamadun, sudah cukup untuk membahagiakan guru anda.  “Selamat Hari Guru 2022,” katanya mengakhiri perkongsian.

Semoga kisahnya ini dapat membantu ramai pihak memahami segala keperluan dan kehendak yang perlu dibantu dalam membantu kualiti pendidikan negara dari aspek seoang guru itu sendiri.

Baik faktor geografi mahupun akses kelengkapan pihak berwajib tidak boleh melihat perkara ini sebagai perkara biasa sebaliknya ia perlu menjadi penanda aras dan kayu ukur keberkesanan pemegang taruh sejauh mana sesebuah kawasan itu dipertingkatkan dan dibantu dalam mendapatkan akses pendidikan lengkap.

Suara Sarawak