Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi digesa atasi masalah tekanan air di Sibujaya, Eco Garden

KUCHING: Masalah tekanan air rendah di Sibujaya dan di Eco Garden yang sering menghantui penduduk perlu diambil tindakan segera oleh Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi.

Adun Dudong Datuk Tiong King Sing berkata, kawasan perumahan dan komersial di Sibujaya mengalami masalah berkenaan sejak tujuh tahun lalu terutamanya di unit flat empat tingkat.

Manakala satu lagi kawasan yang lebih teruk ialah Eco Garden, bertentangan dengan Sibujaya dan bersebelahan dengan lapangan terbang Sibu, yang menghadapi isu bekalan air kerana tiada perancangan yang rapi sejak 10 tahun lepas.

“Pembangunan Eco Garden yang diluluskan berjumlah kira-kira 250 ekar tetapi kini telah siap fasa 1 pada lima tahun lalu sekitar 100 ekar dengan jumlah 700 unit termasuk 216 unit rumah Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM).

“Semua kunci telah diserahkan kepada pembeli tetapi kebanyakan pembeli tidak dapat masuk, kerana tiada bekalan air dan tidak dapat mendapatkan meter air sejak lima tahun yang lalu,” katanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri ke -19 di sini hari ini.

Kini jelasnya, difahamkan bahawa kementerian melalui JBALB dalam pembinaan untuk membina saluran paip baru 600mm dari Loji Rawatan Salim – Jalan Salim – Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce – Jalan Tunku Abdul Rahman – Jalan Durin Link – Jambatan Durin – KJD dan menyambung ke Kanowit.

“Malangnya, laluan ini memintas Sibujaya dan Eco Garden.

“Justeru, saya menyeru agensi terlibat seperti Jabatan Bekalan Air Luar bandar (JBALB) mempertimbangkan untuk membenarkan beberapa bekalan daripada saluran paip baharu untuk Sibujaya dan Eco Garden.

“Ini termasuklah mempertimbangkan untuk mempercepatkan pembinaan loji rawatan air tambahan baharu di Kanowit yang telah dirancang lebih awal oleh agensi,” ujarnya.

Suara Sarawak