KUCHING: Sarawak mencatat kesejahteraan keluarga pada tahap sederhana dengan skor 7.78 daripada skor maksimum 10, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Menurutnya skor yang dicapai Sarawak bagi lapan domain yang diukur adalah Hubungan Kekeluargaan (8.44), Ekonomi Keluarga (7.90), Kesihatan Keluarga (7.41), Keselamatan Keluarga (7.98), Keluarga dan Keterlibatan Komuniti (8.09), Keluarga, Peranan Agama dan Amalan Kerohanian (8.15), Perumahan dan Persekitaran (6.98), dan Keluarga dan Teknologi Komunikasi (7.34).

“Ini berdasarkan kajian Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia 2019 berdasarkan 8 domain,” katanya dalam ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah menunjukkan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Fatimah menambah selain sistem sokongan sosial, kementeriannya turut melaksanakan program secara berterusan bagi mencapai kelestarian institusi keluarga yang berdaya tahan mengharungi cabaran kehidupan, mampu menyara keluarga, menyediakan persekitaran yang kondusif serta selamat serta hubungan kekeluargaan yang erat dan harmoni.

Beliau menambah bagi mengukuhkan hubungan kekeluargaan, kementeriannya dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan agensi negeri lain termasuk NGO melaksanakan secara berterusan pelbagai program pembangunan keluarga.

“Kursus pengukuhan institusi perkahwinan dan keluarga seperti kursus pra-perkahwinan, kursus keibubapaan datuk nenek, kursus keibubapaan tunggal dan kursus keibubapaan remaja.

“Kementerian juga giat melaksanakan program-program kesedaran dan advokasi tentang hak dan perlindungan wanita dan kanak-kanak yang termaktub dalam undang-undang sedia ada,” katanya.

Suara Sarawak