SARIKEI: Cintanya terhadap kerjaya guru bermula selepas mendapat tawaran melanjutkan pengajian di Maktab Perguruan Rajang pada 1983 meskipun cita-cita ketika itu untuk menjadi seorang inspektor polis.

Mengimbau semula kenangan ketika awal pembabitan awal sebagai pendidik, Zulkipli Abdullah, 60, berkata, kerjaya itu sangat mencabar namun di dalamnya ada kemanisan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Justeru hari guru bagi anak jati kelahiran Sarikei ini, bukan sekadar sambutan sebaliknya memberi makna besar kepadanya sebagai seorang pendidik. “Bagi saya sambutan Hari Guru merupakan penghargaan kepada seluruh pendidik, bukan semata-mata guru yang mengajar di sekolah sahaja tetapi, mereka yang mendidik pelajar di pondok-pondok.

“Pendek kata, di mana-mana saja asalkan mereka mendidik orang lain menjadi manusia – layak dipanggil guru.  Itulah yang saya fikirkan tentang maksud hari guru.

ZULKIPLI ABDULLAH… Foto awal menjadi pendidik.

“Gelaran kecil itu memberi makna besar kepada sesiapa sahaja yang bergelar pendidik,” katanya ketika ditemui. Cerita sambil merenung jauh, arwah ibunya yang mahukan beliau menjadi seorang guru kerana beranggapan kerjaya itu sebagai landasan terbaik untuk mendidik anak bangsa.

Menurut Zulkipli,  sebaik tamat pengajian di maktab perguruan pada 1985, beliau ditempatkan mengajar di salah sebuah sekolah di kawasan pedalaman Sarawak. “Masih segar dalam ingatan, arwah ibu yang menghantar ke sekolah tempat pertama saya mengajar.  Perasaan saya? Tidak mampu digambarkan dengan kata-kata.

“Sebaik sahaja sampai di sekolah pedalaman itu, fikiran saya membayangkan inilah yang akan saya tempoh sepanjang hidup dan inilah hidup yang dinamakan sebagai guru. “Nak kata sedih tidak, nak kata gembira pun tidak. Namun sebagai guru terlatih, saya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Beliau berkata, perasan resah bertukar gembira tatkala melihat displin tinggi murid selain sikap mereka yang amat menghormati guru. “Malah katanya, ibu bapa di sekolah berkenaan juga memberikan kerjasama cukup baik sehingga membolehkan sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar.

“Murid-murid di tempat saya mengajar itu sangat menghormati guru. Kalau nampak guru, mereka kelihatan takut tetapi sebenarnya bukan takut sebaliknya hormat dengan kita. “Apa-apa saja arahan yang diberikan, mereka melaksanakannya dengan sebaik-baik mungkin.

“Sehingga ke hari ini, ramai bekas murid sangat menghormati saya walaupun sudah terpisah lebih 20 tahun,”katanya.

Zulkipli berkata, walaupun sudah dua tahun meninggalkan profesion perguruan namun, kenangan sepanjang menjadi guru akan tetap terpahat di jiwa hingga ke akhir hayat. “Jadi guru umpama tanam pokok, kita baja dan siram pokok itu dengan secukupnya dengan harapan ia tumbuh subur.

BERSAMA murid SK St Methodist Anglo Chinese Sarikei sekolah terakhir sebelum bersara.

“Samalah seperti kita mengharapkan kejayaan anakanak bangsa yang kita didik,” ujarnya, Sebelum mengakhiri perbualan, Zulkipli yang kini usahawan sepenuh masa yang juga pemilik Taman Impian Kafe, Taman Susur Jambu turut berkonsi tip untuk anak muda yang ingin menjadi guru.

“Pertama, kita kena hormat sesiapapun di sekeliling kita kerana kita merupakan contoh. “Kedua kalau nak menolong orang jangan berkira, tolong sepenuh hati, kadang-kadang masyarakat bukan lihat pangkat kita, kedudukan kita tetapi peranan dan tanggungjawab kita sebagai guru yang baik,” katanya.

Suara Sarawak