Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg

KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) meletakkan komitmen yang tinggi dalam memastikan negeri ini sentiasa memainkan peranan utama untuk mengekang perubahan iklim dunia sejajar dengan Perjanjian Paris.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan pimpinannya memikul tanggungjawab yang berat untuk memastikan Sarawak sentiasa berada di hadapan dalam era pembangunan yang dipacu oleh teknologi digital dan hijau.

“Pindaan kepada Kanun Tanah Negeri (KTN) dan Ordinan Perhutanan pada persidangan Dewan Undangan Negeri DUN) baru-baru ini adalah langkah ke hadapan pengurangan gas-gas rumah hijau yang juga memberi kemungkinan kepada negeri ini untuk menambahkan hasilnya.

“Ia juga bertujuan untuk menyediakan kerangka perundangan bagi menguruskan stok karbon yang tersimpan pada inventori hutan negeri ini.

“Saya yakin langkah ini akan membuka laluan kepada untuk kita terlibat dalam perniagaan karbon yang berpontensi memberi pulangan hasil kepada Sarawak,” katanya dalam perutusan sempena Hari Gawai Dayak 2022.

Mengulas lanjut, katanya pindaan itu juga merupakan langkah ke hadapan untuk terlibat dalam aktiviti mengekang pertambahan gas karbon dioksida di udara yang menjadi penyebab kepada kenaikan suhu pada iklim dunia melalui teknologi.

Suara Sarawak