NAZARI HASSAN…bekalan ayam dan telur mencukupi dan stabil di Bintulu.

BINTULU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Bintulu memberi jaminan bekalan ayam dan telur di bahagian ini mencukupi dan stabil.

Ketua Cawangannya Nazari Hassan berkata, ini berdasarkan pemantauan dan pemeriksaan harian yang dijalankan KPDNHEP di premis tempatan, yang turut mendapati tiada kenaikan harga bagi dua barangan keperluan itu menjelang perayaan Gawai Dayak.

Menurutnya, bekalan bagi kedua-dua barangan itu stabil kerana premis di Bintulu mendapatkan stok mereka dari bahagian Sibu dan Kuching.

“Penghantaran ke Bintulu adalah tiga kali seminggu dan setakat ini tiada kekurangan bekalan direkodkan,” katanya kepada media ketika ditanya kemungkinan berlaku kekurangan ayam dan telur di pasaran.

Tambah beliau, walaupun tiada pembelian panik dilaporkan membabitkan kedua-dua barangan itu, telur dan ayam biasanya akan habis dalam masa beberapa jam selepas premis itu mengisinya semula.

Menurut Nazari, bekalan barangan kawalan di peruncit dan pemborong terpilih di sini setakat 28 Mei lalu ialah 44,376 kg gula, 34.07 tan metrik minyak masak paket, 784 kg ayam standard, 568 kg ayam super dan 28,794 kg tepung gandum.

Beliau berkata bekalan itu akan dikemas kini setiap hari dalam sistem KPDNHEP bagi memastikan ia mencukupi untuk pasaran tempatan.

Suara Sarawak