Nanta (dua kiri) ketika melawat Central Coldstorage Kuching (CCK) Stutong, di sini sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Gawai Tahun 2022.

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyambut baik cadangan Sarawak untuk mengeksport bekalan ayam di negeri ini jika bekalan ternakan itu berlebihan daripada permintaan.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata bagaimanapun cadangan tersebut akan boleh digunapakai jika bekalan tempatan dijamin sentiasa mencukupi serta keutamaan telah diberikan kepada pengguna tempatan.

“Kalau bekalan ayam ini berlebihan dan boleh dieksport mengapa tidak… ia merupakan salah satu cabang untuk meningkatkan industri penternakan kita.

“Jangan pula kita berada dalam situasi bekalan dalaman tidak mencukupi dan mengambil tindakan untuk mengeksport bekalan tersebut. Situasi seperti ini kita tidak galakkan dan larang sama sekali,” katanya ketika diminta mengulas mengenai cadangan Sarawak mengeksport bekalan ayam yang berlebihan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Gawai Tahun 2022 di Central Coldstorage Kuching (CCK) Stutong, di sini, hari ini.

Menjelas lanjut kata Nanta, satu pertemuan mesyuarat bersama Persatuan Penternakan Ayam dan Telur Sarawak yang diadakan Sabtu lalu turut membincangkan mengenai bekalan ayam di negeri ini.

“Dalam mesyuarat tersebut, saya diberi jaminan oleh pemain industri peternakan ayam bahawa bekalan ayam di Sarawak tidak menghadapi masalah malah mereka menyatakan bahawa bekalan ini sentiasa ada,” ujarnya.

Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak 23 Mei lalu, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah negeri Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dipetik berkata, Sarawak tidak menghadapi masalah bekalan ayam berikutan pengeluaran sara diri untuk negeri ini sudah melebihi 100 peratus.

Malah katanya, kerajaan Sarawak kini berusaha membantu penternak untuk terus mengembangkan lagi industri peternakan ayam bagi membolehkan Sarawak mengeksport ayam.

Suara Sarawak