KUCHING: Festival Makanan Kuching 2022 (Kuching Food Festival) kembali memeriahkan bandaraya ini dengan sasaran sehingga 500,000 pengunjung setelah dua tahun menyepi ekoran pandemik Covid-19.

Bertemakan ‘Kuching’s Best Creative Food and Culture’, ia akan berlangsung pada 29 Julai hingga 21 Ogos ini bertempat di Dewan Masyarakat MBKS, Jalan Padungan, di sini.

Menurut Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng, Festival tersebut akan menyasarkan dan memberi peluang kepada peniaga untuk membuka sebanyak 250 gerai.

Bagaimanapun katanya, tahun ini MBKS ingin melihat lebih banyak persembahan makanan yang kreatif dan permohonan peniaga kepada gerai ini perlu selaras dengan pengiktirafan bandar ini sebagai bandar kreatif gastronomi.

“Justeru, kelulusan permohonan akan berdasarkan kreativiti pemohon, terutamanya tentang cara mempromosikan dan menyajikan makanan tempatan dengan lebih baik.

“Kami berharap dapat melihat mereka (peniaga) menghidangkan pelbagai jenis makanan, dan bukan semua sosej. Jadi lebih kreatif dalam persembahan makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ‘Kuching Festival Food Fair’ di Bangunan MBKS, di sini, hari ini.

Berhubung kadar penyewaan gerai, Wee berkata kadar penyewaan masih dikekalkan seperti pada tahun 2019 iaitu antara RM550 dan RM3,000, bergantung kepada saiz dan lokasi gerai.

Katanya, walaupun sasaran gerai adalah 250 gerai, jika lebih banyak permohonan yang diterima oleh MBKS dan pihak penganjur, mereka akan mencari jalan untuk menampung lebih banyak lagi gerai.

Permohonan untuk menyewa gerai bagi Festival Makanan Kuching akan dibuka pada 9 Mei (hari ini) dan akan ditutup sebelum 24 Mei, jam 4 petang.

Borang boleh didapati di https://forms.gle/Bz8M5mtuuRUH18Ba7 atau layari kaunter No.8 atau No.9 di Pusat Khidmat MBKS, dari 8.30 pagi hingga 4 petang.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak