TERUJA… Karim bersama-sama yang lain berdiri di tepi lukisan mural Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF)

KUCHING: Program mural bertemakan Sarawak diyakini dapat menonjolkan keindahan kepelbagaian etnik yang ada di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, program sedemikian juga penting agar warisan budaya yang tidak dilupakan.

“Mural tersebut mempunyai lima tonggak pelancongan Sarawak melibatkan Budaya, Pengembaraan, Alam Semula Jadi, Makanan dan Perayaan (CANFF).

“Ia merupakan hasil kerja pelajar dari pelbagai universiti serta membabitkan bakat daripada Persatuan Orang Pekak Sarawak.

“Malah, program ini bukan sahaja dapat meraikan keunikan negeri kita, tetapi juga sebagai inisiatif mengumpul dana untuk membantu persatuan tersebut melalui sumbangan sukarela oleh pengunjung ke pameran ini,” katanya.

Karim ketika memberi ucapan pembukaan bagi merasmikan program tersebut

Beliau berkata demikian ketika sidang media Mural Maze Terbesar Bertemakan Sarawak 2022 di sini, hari ini.

Tambahnya, Unimas, Uitm Cawangan Samarahan, Universiti Swinburne Sarawak, UCSI Kuching dan the Universiti Teknologi Sarawak berjaya menyiapkan projek tersebut dalam tempoh lima bulan.

Melalui usaha serta kerjasama mereka, pameran tersebut bersedia untuk mencipta rekod baharu dalam Buku Rekod Malaysia dengan mempamerkan lukisan mural sebesar
1370 meter persegi.

“Orang ramai dijemput hadir untuk merasakan sendiri pengalaman yang dikongsi melalui mural tersebut yang bermula hari ini sehingga 8 Jun,” ujarnya.

SIMBOLIK… Karim (tengah) bersama-sama yang lain ketika memotong reben bagi merasmikan program Mural Maze Terbesar Bertemakan Sarawak 2022

Suara Sarawak