BAU: Polis menahan seorang lelaki berusia 21 tahun bersama dadah jenis syabu dalam satu serbuan di Kampung Jagoi, semalam.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, suspek dicekup sekitar jam 11.30 pagi ketika Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik melakukan rondaan dan pemeriksaan di lokasi kejadian.

“Suspek ketika serbuan tidak menyedari kehadiran pihak polis dan ketika pemeriksaan dilakukan, sepeket plastik lut sinar berisi bahan kristal jernih disyaki syabu dianggarkan seberat 0.48 gram dijumpai di atas meja kayu bilik berkenaan.

“Pemeriksaan awal saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dedahnya, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan mengaku terlibat dengan pengambilan dadah akibat pengaruh kawan sejak beberapa tahun yang lalu.

Jelasnya, permohonan reman ke atas suspek akan dilaksanakan bagi membantu siasatan lanjut kes.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952.

Jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

TAHAN…Suspek berusia 21 tahun tidak mengetahui rumah telah diserbu pasukan polis sebelum ditahan

Suara Sarawak