KUCHING: Aura kemenangan selesa (3-1) yang dilalui ketika menumpaskan PJ City FC baru-baru terus menjadi inspirasi buat pemain Sarawak United FC (SU FC) untuk cuba mengekal dominasi tersebut.

Sasaran seterusnya cuba menjadikan pertemuan menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Negeri, Petra Jaya malam esok sebagai pentas merealisasi impian beroleh tiga mata berharga itu.

Ketua Jurulatih SU FC, B. Sathiananthan mengakui, ia bukan tugas yang mudah meskipun kelebihan dilihat berpihak kepada bala tenteranya yang beraksi dilaman sendiri.

Namun tegas Sathia, pasukan pelawat yang mempunyai kekuatan di luar pengetahuan mereka mampu melakukan kejutan.

“Apa yang pasti, saya sudah mengingatkan pemain agar sentiasa berwaspada kerana sikap terlalu yakin boleh mengundang musibah sebaliknya,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.

Beliau juga berharap barisan kesebelasan utama dipertaruhkan malam esok bijak menyempurnakan peluang yang ada, di samping bijak menyerap tekanan.

Menurut Sathia, kemenangan begitu diperlukan pasukannya untuk memperbaiki kedudukan mereka yang kini masih berada dalam kelompok dua terbawah.

Skuad SU FC kini menghuni tangga ke-11 dengan mengumpul empat mata selepas mengharungi 6 perlawanan.

Suara Sarawak