Adun Balingian Abdul Yakub Arbi ketika menyampaikan ucapan perbahasan sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini, hari ini.

KUCHING: Penduduk dari lima buah rumah panjang di kawasan Pelata, Balingian ketika ini masih menggunakan perahu untuk menyeberangi Batang Balingian bagi menjalankan urusan harian mereka.

Adun Balingian Abdul Yakub Arbi berkata ia disebabkan kelima-lima rumah panjang itu iaitu Rh. Tundan, Rh. Liai, Rh. Mikai, Rh. Ngelantar dan Rh. Jamit belum dihubungkan dengan jalan raya.

“Keadaan ini dilihat lebih menyukarkan mereka apabila berlaku kecemasan,” katanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini, hari ini.

Menurutnya, jalan penghubung desa dari jalan pesisir ke Benawa telah pun siap dibina, namun lima buah rumah panjang berkenaan masih belum ada jalan.

Justeru, Abdul Yakub memohon agar projek menghubungkan jalan Benawa ke rumah-rumah panjang terbabit dibina.

Sementara, beliau berkata jalan persekutuan Balingian ke Sg. Anak perlu diberi perhatian oleh agensi berkaitan.

Katanya ia harus diselenggara dan diteruskan pembinaannya bagi menghubung ke Lebuhraya Pan Borneo demi keperluan rakyat di kawasan tersebut.

“Pembinaan jalan ini bukan sahaja sebagai jalan alternatif Balingian – Bintulu, malah menjadi jalan utama kepada penduduk di sepanjang laluan tersebut
untuk akses kepada jalan pesisir pantai dan juga Lebuhraya Pan Borneo,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Yakub berkata beberapa sekolah daif di Balingian perlu diberi perhatian khusus.

Beliau berkata antaranya SK Jebungan, yang terdedah kepada risiko hakisan tebingan sungai.

“Pada hujung tahun lepas, jeti sekolah ini telah tenggelam bersama arus sungai yang saban hari menghakis tebing,” katanya.

Selain itu, katanya SK Kenyana yang setiap kali musim tengkujuh berhadapan dengan masalah banjir.

“Kita dimaklumkan Pejabat Pendidikan Mukah bahawa SK Kuala Balingian perlu dibaik pulih memandangkan sekolah tersebut dianggarkan 80 peratus tahap kedaifannya,” katanya.

Suara Sarawak